Tee Keat, Ka Ting Terima Kekalahan Dengan Hati Terbuka

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ong Tee Keat, yang gagal mempertahankan jawatan Presiden MCA pada pemilihan parti hari ini, berkata beliau menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan akan tetap menjalankan tugasnya sebagai anggota Parlimen Pandan.

"Yang kalah tu memang kita akan buat post mortem dan sebagainya. Pada ketika ini tak perlu kita buat sebarang kesimpulan tetapi yang menang atau kalah itu tetap kita perlu menerima keputusan.

"Bagi saya, saya masih lagi anggota Parlimen Pandan dan saya akan terus menjalankan tugas saya. Itu komitmen saya kepada rakyat yang mengundi saya dan komitmen itu takkan berubah berikutan keputusan ini," katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan pemilihan parti MCA di sini.

Dalam pemilihan itu, bekas Timbalan Presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek membuat kejutan setelah menang dengan majoriti tipis 68 undi, mengenepikan bekas pemimpin nombor satu Tan Sri Ong Ka Ting dan Tee Keat.

Soi Lek memperoleh 901 undi berbanding Ka Ting yang meraih 833 undi manakala Tee Keat di tempat tercorot dengan 578 undi.

Mengenai jawatan Menteri Pengangkutan yang dipegangnya kini, Tee Keat berkata perkara itu merupakan hak mutlak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan terserah kepada beliau untuk membuat keputusan.

Tee Keat berkata semua pihak harus komited terhadap transformasi parti selepas ini, bagi memastikan MCA akan terus relevan.

"Saya harap mulai sekarang yang penting sekali parti kena bergerak maju ke depan di bawah pucuk pimpinan baru. Tak kisah siapa yang menerajui parti ini, transformasi tetap perlu menjadi agenda parti," katanya.

Ditanya sama ada keputusan berkenaan akan menyelesaikan kemelut dalaman MCA, beliau berkata: Saya tiada jawapan (mengenai perkara itu) dan saya pun bukanlah Pak Nujum."

"Apa yang penting bergantung kepada semua pihak sama ada kemelut itu dapat diatasi atau tidak dan bukannya kita masing-masing boleh buat statement, ia bergantung kepada komitmen semua pihak," katanya. Sementara itu, Ka Ting yang turut menerima kekalahannya dengan hati terbuka, berharap kepimpinan baru akan dapat menyatukan keseluruhan anggota parti berkenaan.

"Saya menerimanya dengan hati terbuka kerana ini adalah demokrasi... ada yang menang dan ada yang kalah.

"Saya harap yang menang akan melaksanakan tanggungjawab mereka untuk parti dan rakyat. Terpulanglah kepada kepimpinan baru dan menjadi tanggungjawab mereka untuk menyatupadukan parti," katanya -BERNAMA


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.