21 Peluru Di Senjata Yang Didaftar Guna Nama Tertuduh

SHAH ALAM, 20 Okt (Bernama) -- Sebanyak 21 butir peluru telah digunakan oleh senjata yang didaftarkan atas nama Koperal Jenain Subi, anggota polis yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, 15, dalam satu kejadian tembakan di Seksyen 11 di sini pada April lepas, Mahkamah Sesyen di sini diberitahu hari ini.

Lans Koperal Ismail Daud, 54, yang bertugas di stor daftar keluar masuk senjata api di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di Seksyen 11 berkata beliau telah memberikan selaras submachine gun jenis HK MP5 A3 dan empat lelopak mengandungi 100 butir peluru kepada Jenain yang menjalankan tugas rondaan pada 25 April lepas tetapi hanya menerima 79 butir peluru apabila Jenain memulangkannya semula pada pagi 26 April.

"Selepas menerima semula senjata dan lelopak peluru daripada Jenain, saya telah keluarkan dan kira jumlah peluru dari lelopak yang diserahkan. Saya dapati dalam setiap tiga lelopak yang diserahkan terdapat 25 butir peluru sama seperti jumlah peluru yang saya serahkan pada 25 April.

"Satu lagi lelopak hanya terdapat empat butir peluru yang belum digunakan. Peluru yang kurang adalah daripada lelopak yang dipasang pada senjata yang didaftarkan atas nama Koperal Jenain," katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, semasa perbicaraan kes Jenain, 48, yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11, antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April lepas.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ismail, saksi ke-17 pendakwaan, berkata bahawa pada 9.59 malam 25 April lepas, Jenain mengambil senjata dan peluru dari stor tersebut untuk melakukan tugas rondaan bersama dengan pemandu MPV polis Konstabel Sokongan Mohd Hafidz Mohd Yusof bermula pukul 10 malam sehingga 6 pagi keesokan harinya (26 April).

Ismail berkata bagi setiap pengeluaran senjata dan peluru, sudah menjadi kebiasaan bahawa setiap lelopak akan diisi dengan 25 butir peluru berukuran 9 mm bertujuan memudahkan urusan penyerahan balik senjata dan peluru selepas anggota polis yang mengambil senjata selesai menjalankan tugas.

"Sebagai pengesahan bagi setiap pengeluaran saya akan catatkan nombor badan, nama dan pangkat penerima tarikh, masa, jumlah peluru dan senjata yang dikeluarkan daripada stor dalam buku daftar keluar dan masuk senjata dan kemudian akan ditandatangani oleh penerima senjata dan peluru tersebut. Jenain ada menurunkan tandatangan selepas menerima kesemua peralatan itu," katanya.

Ditanya Mohd Dusuki sama ada beliau ada bertanyakan Jenain mengenai kehilangan 21 butir peluru itu, Ismail berkata: "Saya ada tanya Jenain sama ada dia ada lepaskan tembakan dan dia (Jenain) kata ada tetapi dia tidak pasti berapa jumlah peluru yang dilepaskan."

Ahli kimia Dr Seah Lay Hong dalam keterangannya berkata beliau telah menerima lapan barang kes termasuk sehelai kemeja-T lengan pendek dan sehelai seluar pendek yang mengandungi kesan darah, spesimen darah, spesimen rambut dan sebilah parang daripada pegawai penyiasat ASP Abdul Halim Ismail untuk dianalisis.

Beliau berkata hasil analisisnya mendapati kesan darah yang ditemui di kemeja itu menunjukkan kehadiran asid deoksiribonukleik (DNA) yang lemah manakala kehadiran DNA di seluar itu dapat dikesan.

Katanya tiada spesimen asing diperoleh pada kesan darah yang terdapat di spesimen rambut tetapi beliau dapat mengesan kehadiran DNA lelaki pada rambut.

"Analisis ke atas parang pula tidak menemui kesan darah pada bilah dan pemegang parang. Parang itu juga sudah berkarat seperti ia tidak digunakan untuk satu tempoh masa yang lama," katanya.

Parang itu ditemui di bahagian bawah tempat duduk penumpang di sebelah kiri kereta yang dipandu oleh Aminurasyid pada hari kejadian.

Ketika ditanya peguam M.Athimulan yang mewakili Jenain sama ada beliau mengetahui siapa pemilik kemeja-T dan seluar pendek yang dihantar untuk analisa, Dr Seah berkata beliau tidak diberitahu mengenai perkara itu.

Peguam Salim Bashir, yang turut mewakili tertuduh, kemudian menunjukkan kepada saksi ke-18 itu gambar kemeja-T serta seluar pendek yang dipakai oleh Aminurasyid semasa kejadian yang jelas berlainan daripada kemeja-T dan seluar pendek yang dianalisis olehnya.

"Setuju atau tidak bahawa T-shirt dan seluar pendek yang dihantar kepada anda untuk dianalisis adalah berbeza seperti T-shirt dan seluar pendek seperti yang ditunjukkan dalam gambar-gambar ini," kata Salim dan Dr Seah bersetuju.

Turut memberi keterangan hari ini ialah Ketua Unit Alkohol dan Klinikal Toksikologi Jabatan Kimia Dr Mohd Sukri Hassan yang mengesahkan bahawa beliau menerima dua sampel darah Aminulrasyid untuk dianalisis bagi mengetahui sama ada darah mangsa mengandungi alkohol atau dadah.

"Hasil analisis saya tidak mengesan aktif alkohol dalam darah mangsa dan saya juga tidak mengesan dadah dalam darah mangsa," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar disambung esok.

No comments

Powered by Blogger.