Biar cemburu dalam berbuat amal baik

SAYA terpanggil membuat komentar apabila membaca penulisan Cik Fadilah A. Majid (BM, 19 September) dengan beliau menulis: "Mereka kata: rezeki yang orang kaya dapat mungkin hasil penipuan atau jalan tidak betul. Tapi anehnya mereka tidak pula mempersoalkan bila melihat kaum lain maju."

Ini mengingatkan saya pada program motivasi yang pernah saya ikuti yang memberikan analogi orang Melayu yang suka menjatuhkan anggota masyarakat sendiri berbanding kalangan bangsa lain.

Penulis juga menyatakan "...kalau lebih ramai Muslim yang kaya, ekonomi kita kukuh, lebih banyak zakat dan derma", dan ini pula mengingatkan saya pada kata-kata seorang teman yang pernah menyuarakan kebimbangannya tentang masalah sosial masyarakat kita.

Sedar atau tidak, sebagai masyarakat minoriti, kita kurang menyumbang kepada ekonomi masyarakat, baik yang merupakan sumbangan cukai mahupun sumbangan-sumbangan lain.

Lihat sahajalah senarai anggota masyarakat kita yang memerlukan bantuan kewangan dan bilangan mereka yang beratur mendapatkan habuan Ramadan tidak lama dulu.

Bukan maksud saya merumuskan bahawa masyarakat Melayu tidak ada sumbangan kepada pembangunan negara, tetapi jika benar isi penulisan Cik Fadilah, kita harus lebih berhati-hati dan mula melihat kepada diri sendiri.

Kita boleh bersikap cemburu atau iri hati, tetapi biarlah dalam hal baik seperti cemburu kerana si polan rajin membaca dan mengamalkan ajaran AlQuran dan bersikap pemurah dengan menginfakkan harta pada jalan Allah sehingga mendorong kita melakukan perkara yang sama.

Usahlah kita ada sifat hasad dengki kepada sesama Muslim dan manusia.

Norjanah Ramli

No comments

Powered by Blogger.