Pemuda MCA mahu BN jauhi kumpulan esktrem

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Pemuda MCA hari ini menggesa kepimpinan Barisan Nasional (BN) memisahkan diri daripada pelampau atau kumpulan pelampau di negara ini.

Ketuanya Datuk Wee Ka Siong berkata langkah ini penting dalam usaha BN melobi sokongan daripada seluruh rakyat, di samping dalam menunaikan tanggungjawabnya untuk menjaga kebajikan semua pihak agar tiada siapa yang tersisih daripada proses pembangunan.

Kata beliau Pemuda MCA sentiasa menentang kumpulan pelampau dan tidak akan tunduk kepada mereka.

“Kami menghormati kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan. Tapi, kami tidak akan membiarkan Perlembagaan ditafsir sesuka hati mereka.

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa kepimpinan Barisan Nasional perlu memisahkan diri secara jelas daripada pelampau atau kumpulan pelampau,” kata Wee pada Perhimunan Agung Pemuda MCA Ke-46 di sini.

Dalam ucapannya pada perhimpunan itu yang dirasmikan Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan turut dihadiri para pemimpin Pemuda parti komponen BN lain, termasuk Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin, Wee menyelar golongan tertentu yang berangan-angan menjadi wira negara dengan memainkan isu perkauman dan menggelarkan golongan itu sebagai “manusia primitif”.

Beliau berkata pemikiran manusia primitif yang gemar meniupkan api perkauman, tidak sesuai lagi pada abad ke-21 ini dan orang ramai tidak suka kepada mereka yang suka menimbulkan keributan atau yang menyamar sebagai wira negara kerana ia tidak bernilai dan tidak memberi makna kepada mereka.

Katanya sikap melampau seperti itu bukan saja tidak boleh diterima dan tidak bersifat membina, malah boleh mengakibatkan banyak kerosakan.

“Lebih teruk lagi, mereka menghalalkan tindakan mereka itu dan mendakwa diri mereka sebagai wira negara. Sebenarnya, mereka melakukan semua itu demi kepentingan peribadi dengan mengorbankan perpaduan, pembangunan dan masa depan negara.

“Hari ini, Pemuda MCA ingin berkata begini kepada manusia primitif itu: “Anda tidak sesuai hidup di zaman moden kini, lebih baiklah anda kembali saja ke zaman kuno!”

Wee, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, turut menggesa kerajaan supaya menambah saiz kek ekonomi negara untuk membolehkan lebih banyak orang menikmatinya.

Katanya kerajaan perlu menjadi kapten bagi usahawan tempatan, tanpa mengira bangsa dan jenama, dalam mempromosikan produk tempatan di luar negara.

“Kita perlu melihat ekonomi daripada sudut pandangan global dan memperlengkapkan diri kita agar kita mampu bersaing di arena global. Kita perlu ubah set minda kita dan tidak boleh mengurung diri kita dalam dunia kita yang kecil,” katanya.

Sebanyak 888 daripada 1,736 anggota perwakilan pusat menghadiri perhimpunan agung itu. – Bernama

perkasa la ni. jaukan la seperti mana ibu bapa melarang anak mereka bermain mercun. perkasa banyak mudarat daripada manfaat!

No comments

Powered by Blogger.