Galas: Jentera Pemuda PAS dilancar hari ini

KUALA LUMPUR, 9 Okt: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) akan melancarkan jentera pilihan raya pemuda peringkat negeri Kelantan bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas di Markaz PAS Kawasan Gua Musang jam 3 petang ini.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, seluruh pemuda negeri khususnya di Gua Musang dikerah untuk memulakan gerak kerja setelah jentera dilancarkan petang ini.

"Untuk peringkat kebangsaan kita dah lancar di program ijtima’ minggu lepas dan hari ini untuk peringkat negeri Kelantan sendiri," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Menurut beliau, seramai 5,000 pemuda di seluruh negara telah dikerahkan untuk turun membantu jentera Kelantan pada PRK kali ini.

"Kita telah sasarkan seramai 5000 pemuda akan turun bertugas mengikut syif yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Ketua DPP Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman memberitahu, Kelantan telah menyediakan seramai 400 pemuda dari setiap kawasan untuk bertugas.

Jumlah petugas dijangka akan meningkat dari semasa ke semasa.

"Kita telah gerakkan gelombang pertama bermula 7 Oktober lalu. Setiap gelombang akan bertugas mengikut syif iaitu satu syif selama lima hari dan akan berterusan sehingga ke hari membuang undi," katanya.

Majlis pelancaran petang ini akan dirasmikan oleh Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Husam Musa dan akan dihadiri oleh beberapa pimpinan DPPP.

No comments

Powered by Blogger.