Homoseksualiti dan tahap kematangan rakyat Malaysia

Oleh Faisal Mustaffa dan Lingswaran Singh

Dalam minggu yang lalu, dua peristiwa yang mendobrak minda telah belaku di Kuala Lumpur. Konsert Adam Lambert di Stadium Putra, Bukit Jalil dan program Seksualiti Merdeka di Annexe, Pasar Seni.

Pertama sekali mari kita teliti kekecohan yang berlaku berhubung konsert sulung "Adam Lambert Glam Nation Tour Live in Malaysia 2010". Adam Mitchel Lambert merupakan seorang artis pop dari California. Lambert merupakan "idola baru America" dalam rancangan popular American Idol. The Times mengenalpasti Lambert sebagai artist pop gay pertama yang mengaku secara terbuka akan kecenderungan seksnya

Pada malam konsert tersebut, pelajar Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), serta Komuniti Mahasiswa Kerinchi telah hadir berdemonstrasi di depan stadium. Terlebih dahulu, kami ucapkan syabas kepada anak-anak muda yang ada pendirian dan berani ini. Namun, kami amat hampa dengan kualiti pemikiran mereka, kami amat bimbang kerana kami khuatir golongan ini adalah golongan yang cuba lari dari realiti dan mengelak masalah sebenar dengan menipu diri sendiri dan orang ramai yang mempercayai mereka.

Gay budaya Barat?

Pengerusi Lajnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat, Dzulkefly Ahmad berkata "Saya yakin rakyat sependapat dengan PAS iaitu hiburan adalah tuntutan naluri manusia dengan ada tatasusila ketimurannya dan tidak menyimpang dari norma-norma agama di Malaysia". Adakah ini suatu kebenaran atau ketidakupayaan untuk mengakui hakikat? Berapa lama lagi akan masyarakat kita terus mempercayai fakta-fakta yang tidak benar sebagai hakiki? Terus menipu diri dan menyalahkan Barat untuk segala macam perkara yang kita lihat sebagai negatif.

Farish A Noor seorang sejarahwan terkemuka di Malaysia, Singapura dan Indonesia telah mengkaji Hikayat Panji Semirang, suatu manuskrip kuno yang menceritakan tentang cinta sejenis, telah menjelaskan bahawa homoseksualiti bukanlah suatu konsep dari barat. Menurutnya geografi seks sebelum kedatangan Islam ke Asia Tenggara adalah bukti kepada apa yang kini kita gelar budaya negatif Barat.

Beliau turut menjelaskan bahawa seperti Kama Sutra, Serat Centini satu manuskrip yang merekodkan hubungan sejenis pada waktu itu adalah bukti cinta sejenis sudah berakar dalam budaya kita sejak kurun ke-15. Menurut beliau lagi, pada ketika itu budaya itu dilihat sebagai sesuatu yang normal.

Sikap membuat kenyataan seolah-olah masyarakat kita membenci dan menghina gay kerana budaya itu adalah asing adalah cuba melarikan diri daripada hakikat semata-mata untuk menipu diri sendiri. Budaya cinta sejenis ini sudah lama dalam masyarakat kita, dan kita tidak perlu menyalahkan Barat. Mengapa begitu sukar untuk kita mengakui kebenaran bahawa budaya homoseks bukanlah asing dan masih segar dalam masyarakat kita? Masyarakat kita dalam diam mengetahui akan kecenderungan seks beberapa artis terkemuka Negara kita sendiri. Mengapa lagi kita terus dalam penafian?

Royal College of Psychiatrists institut penyelidiakan mental di London telah menyatakan pada 2007 bahawa tidak ada bukti untuk menyokong cadangan bahawa cara mendidik anak atau pengalaman waktu muda memainkan peranan dalam kecenderungan seks seseorang. Kecenderungan ini adalah bersifat biologi dan oleh yang sedemikian bukanlah suatu pilihan. American Academy of Pediatrics pula dalam suatu laporan perubatan pada tahun 2004 menerangkan bahawa kecenderungan seks ditentukan oleh pelbagai kombinasi faktor genetik, hormon, dan pengaruh persekitaran.

Kecenderungan seks gagal dikawal

Bidang ilmu sains menjelaskan bahawa kecenderungan seks adalah satu perkembangan yang tidak dapat dikawal. Ini bermakna sesorang tidak boleh menjadi gay, sebaliknya kecenderungan itu bermula sejak kecil lagi secara semulajadi. Oleh yang sedemikian mengapa rakyat kita khuatir seolah-olah orang muda akan terus menjadi gay dengan menonton konsert Adam Lambert? Mengapa isu seksualiti menjadi kegemaran rakyat Malaysia? Adam Lambert telah menghormati rakyat kita dengan bersetuju untuk tidak membuka baju dan melakukan adegan ciuman homoseksnya. Tapi sebilangan orang muda di Negara kita tidak dapat menghargai hormat diberikan itu dan membalasnya dengan memijak poster Lambert dan mencercanya secara halus. Sedangkan budaya homoseks itu subur di Malaysia sejak dahulu lagi.

Malahan menjadi rahsia terbuka, di mana cerita hubungan intim sejenis di asrama-asrama sekolah agama bukanlah sesuatu yang menghairankan. Tanya sahaja kepada anak-anak yang belajar di institusi-institusi tertentu. Mungkin dalam himpunan protes itu sendiri ada beberapa mahasiswa yang masih tidak berani mengakui kesongsangan seksualiti mereka dan sebagai reaksi melihatkan homophobia yang tinggi. Tekanan dan diskriminasi yang dihadapi oleh golongan yang songsang kecenderungan seksnya adalah amat membimbangkan.

Pada 28 September yang lalu Seth Walsh seorang kanak-kanak berusia 13 tahun dari California telah membunuh diri kerana tidak tahan dibuli oleh rakan-rakan sekelas kerana kecenderungan seksualnya yang songsang. Adakah ini yang kita mahu berlaku di Negara kita? Sudah tiba masa kita berhenti menuding jari dan mengakui masalah-masalah yang wujud dalam masyarakat kita. Jika kita tidak boleh menyelesaikanya maka kita harus cuba memahaminya sebaik mungkin. Mereka juga manusia, mereka juga menpunyai maruah, mereka juga mempunyai perasaan, dan mereka juga bergelar warganegara.

Walaupun kecewa dengan sebab mengapa protes dan demostrasi memijak poster Lambert itu dijalankan, kami sempat meninjau satu aktiviti yang didedikasi kepada isu seksualiti. Pesta Seksualiti Merdeka telah menghimpunkan hampir 300 rakyat pelbagai bangsa dan agama untuk merayakan seksualiti masyarakat kita yang majmuk. Dalam pesta itu, mereka tidak mengadakan hubungan seks tetapi cuba mendidik masyarakat tentang kesedaran hak seksualiti, selain menceritakan kesukaran hidup golongan gay, lesbian, trangender dan sebagainya yang sering didiskriminasi.

Seandainya golongan muda yang berdemonstrasi itu adalah kerana konsert ini merupakan suatu pembaziran, dan terang-terang adalah satu lagi usaha puak pemodal mencari keuntungan, maka kami akan berbangga dan berasa kagum dengan tahap kematangan mereka. Barangkali bukan ini salah mereka, tetapi salah universiti awam kita.

Baru-baru ini salah seorang daripada UKM 4 telah dilucutkan anugerah dekan, sedangkan mahkamah belum mendapati mereka bersalah. Nampaknya UKM bertekad untuk memusnahkan masa depan pelajar-pelajarnya yang kritikal dan berani. Jika beginilah Universiti tidak hairanlah kualiti mahasiswa yang dilahirkan hanya mampu obses dengan seksualiti songsang artis asing, dan gagal melihat isu-isu yang lebih penting.

*Faisal Mustaffa dan Lingswaran Singh ialah penulis bebas.

1 comment

Kerajaan Rakyat said...

Semasa gadis sebaya bebas ke sana sini
Semasa remaja seusia ria bersama keluarga

Kebebasannya direntap oleh pendusta
Kebahagiaannya diragut oleh penguasa

Senyumnya manis, hatinya bergelora
Tuturnya sopan, semangatnya membara

Tajam tintanya bukan untuk Anwar
Petah tuturnya bukan untuk Papa

Langkah juangnya demi Rakyat demi Nusa
Pantas tindaknya demi Agama demi Bangsa

Semangat juang disusurnya langsung
Perjuangannya kami turut menyongsong

Nurul Izzah Anwar adalah calon Naib Presiden.

Powered by Blogger.