Pembetulan Laporan Dari BERNAMA Berkaitan Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra selaku Waris (Bakal Raja)

Alhamdulillah, pada hari ini, 18 Oktober 2010, Majlis Perajaan Negeri Kelantan telah selamat melangsungkan mesyuaratnya di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan pada jam 9 pagi bagi tujuan untuk menasihatkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, supaya memilih dan melantik Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra selaku Waris (Bakal Raja) dan supaya mengurniakan kepada Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra akan gelaran Tengku Mahkota Kelantan.

Keputusan mesyuarat Majlis Perajaan Negeri Kelantan ini telah selamat disembah maklum (oleh Tengku Laksamana Kelantan, Dato’ Tengku Abdul Halim Almarhum Sultan Ibrahim, Dato’ Seri Setia Raja Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Aiseri Alias, dan Dato’ Sukri Haji Mohamed) kepada, dan telah selamat diperkenan oleh, Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, di Istana Telipot, pada jam 10 pagi.

Seterusnya, majlis perisytiharan pilihan dan pelantikan Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra selaku Waris (Bakal Raja) di samping perisytiharan pengurniaan kepada Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra akan gelaran Tengku Mahkota Kelantan telah selamat dilangsungkan di Istana Negeri, Kubang Kerian, menjelang jam 1 petang.

Sehubungan dengan ini juga, kami ingin memperbetulkan sedikit kesilapan fakta yang telah dibuat oleh BERNAMA di dalam liputannya ke atas sidang akhbar Dato’ Seri Setia Raja Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Aiseri Alias, dengan bantuan Dato’ Sukri Haji Mohamed, di Istana Negeri, Kubang Kerian, pada jam 3 petang.

Kesilapan yang dimaksudkan di dalam laporan BERNAMA ini adalah pada ayat “Mohd Aiseri memberitahu satu sidang akhbar bahawa mesyuarat MPN itu dihadiri oleh 14 daripada 15 anggotanya kecuali Tengku Razaleigh Hamzah yang tergugur secara automatik sebagai anggota kerana tidak hadir mesyuarat sebelum ini tanpa keizinan majlis itu.”

Sebenarnya, apa yang dijelaskan oleh Dato’ Mohd Aiseri Alias adalah mesyuarat Majlis Perajaan Negeri itu dihadiri oleh kesemua 15 anggotanya tetapi bahawa keputusan mesyuarat itu hanya dibuat oleh 14 anggotanya kerana Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra telah tidak melibatkan diri Baginda di dalam pembuatan keputusan mengenai perkara-perkara yang menyentuh diri Baginda sendiri tersebut.

Sewaktu ditanya oleh seorang wartawan mengenai perbezaan di antara bilangan anggota Majlis Perajaan Negeri pada waktu ini dengan pada 13 September 2010 (17 orang), Dato’ Mohd Aiseri Alias menjelaskan bahawa ia berlaku disebabkan oleh keanggotaan Tengku Razaleigh Hamzah dan Tengku Amalin A'ishah Putri Sultan Ismail Petra di dalam Majlis Perajaan Negeri telah gugur dengan sendirinya mulai dari tarikh 13 September 2010 itu berdasarkan kepada:

Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua)

11. (2) ...Jika mana-mana ahli yang ketiadaan hadirnya tidak dimaaf atau yang telah mungkir memberi huraian yang berpatutan kepada Yang di-Pertua, kerana ketiadaan hadirnya itu, maka terlucutlah ia dengan sendirinya daripada menjadi ahli Majlis Perajaan Negeri.

Versi bahasa Inggerisnya:

Laws of The Constitution of Kelantan (Second Part)

XI. (2) ...Any member whose absence has not been excused or who has failed to give reasonable explanation for such absence to the President, shall automatically cease to be a member of the Council of Succession.

Sewaktu ditanya oleh seorang wartawan mengenai kemungkinan Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fa-iz Petra dilantik selaku Pemangku Raja pula, Dato’ Mohd Aiseri Alias menjelaskan bahawa ia boleh berlaku kerana Fasal 22A(2) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) memperuntukkan bahawa apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan berhajat meninggal(kan) Negeri lebih daripada tiga puluh hari, maka Baginda hendaklah melantik seorang Pemangku Raja atau Majlis Pangkuan Raja sebagaimana nampak kepadanya berpatutan pada menjalankan tanggungan-tanggungannya di dalam masa peninggalannya daripada Negeri.

Di sini juga kami ingin memohon ribuan kemaafan daripada pihak-pihak yang merasakan mereka sepatutnya dijemput hadir sama ke dalam majlis yang bersejarah ini tetapi mendapati diri mereka telah tidak dijemput, di antaranya termasuklah ketua-ketua jabatan kerajaan, ahli-ahli Parlimen dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, semata-mata disebabkan oleh keterbatasan ruang di Istana Negeri, Kubang Kerian.

Bagi berlaku adil, bersama-sama ini dilampirkan senarai kehadiran di dalam majlis perisytiharan yang turut dihadiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, dan Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fa-iz Petra tersebut:

Tengku Laksamana, Dato’ Tengku Abdul Halim Almarhum Sultan Ibrahim
Tengku Panglima Raja, Dato’ Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz
Dato’ Seri Setia Raja Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Aiseri Alias
Dato’ Bentara Dalam, Dato’ Wan Hashim Wan Ahmad
Dato’ Bentara Luar, Dato’ Hashim Dato’ Che Yusoff
Dato’ Aria Diraja, Dato’ Daud Muhammad
Dato’ Kaya Nara, Dato’ Nik Ishak Dato’ Nik Daud
Dato’ Bentara Setia Menteri Besar, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Dato’ Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yaakub
Dato’ Tengku Rozan Almarhum Sultan Yahya Petra
Dato’ Tengku Salwani Almarhum Sultan Yahya Petra
Dato’ Tengku Faridah Almarhum Sultan Ibrahim
Dato’ Sukri Haji Mohamed
Dato’ Khairi Mohamad
Tengku Rozanna Petri Tengku Mohd Nasrun
Kapten Dato’ Tengku Ahmad Farizanudean Dato’ Khairi
Leftenan Jeneral (B) Dato’ Seri Mohamed Daud
Dato’ Zulkifly @ Ibrahim Abdul Rahman
Dato’ Speaker Dewan Undangan Negeri
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri
Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Dato’ Mufti Kerajaan Negeri
Dato’ Timbalan Mufti Kerajaan Negeri
Dato’ Pengelola Istana Diraja
Dato’ Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri
Dato’ Penasihat Undang-Undang Negeri
Dato’ Pegawai Kewangan Negeri
Dato’ Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri
Dato’ Pengarah Tanah dan Galian Negeri
Dato’ Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu
Dato’ Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan)
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan)
Pemangku Ketua Istiadat Negeri
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan
Panglima 8 Briged
Ketua-Ketua Jajahan
Raja Razman Sultan Idris
Tengku Ibrahim Farihaddin
Iznan Dato’ Mohamed
Marco Caramella
Anil Abraham
Dato’ Justin

Tengku Muhammad Fa-iz Petra Pewaris Kesultanan Kelantan

(Bernama, 18 Oktober 2010, 18:39 PM)

KOTA BAHARU, 18 Okt (Bernama) -- Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Sultan Ismail Petra, adinda kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke-V, dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan dan pewaris takhta kesultanan Kelantan berkuat kuasa serta merta.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Aiseri Alias berkata keputusan itu dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri (MPN) yang bermesyuarat Isnin dengan dipengerusikan oleh Yang Dipertuanya, Tengku Abdul Halim Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ibrahim.

Istiadat penyerahan watikah pelantikan gelaran Tengku Mahkota Kelantan berlangsung di Istana Negeri di Kubang Kerian pada 2 petang tadi (sebenarnya menjelang 1 petang).

Mohd Aiseri memberitahu satu sidang akhbar bahawa mesyuarat MPN itu dihadiri oleh 14 daripada 15 anggotanya kecuali Tengku Razaleigh Hamzah yang tergugur secara automatik sebagai anggota kerana tidak hadir mesyuarat sebelum ini tanpa keizinan majlis itu.

Tengku Muhammad Fa-iz, 36, adalah anakanda kedua Sultan Ismail Petra daripada empat beradik. Dua lagi ialah Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Amalin A-Ishah Putri.

Tengku Muhammad Fa-iz, yang diputerakan di Istana Kota Lama pada 20 Jan 1974, dilantik sebagai Tengku Bendahara Kelantan pada 30 Mac 1989 dan menjadi Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sejak 21 Jun 2009.

Mohd Aiseri berkata, mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz bakal menjadi raja atau Pemangku Raja apabila baginda Sultan Kelantan berangkat ke luar negara melebihi 12 bulan atau tidak boleh menjalankan tugas sebagai Sultan dalam tempoh berkenaan.

Beliau juga berkata, mesyuarat MPN itu tidak membincangkan mengenai pelantikan Tengku Temenggong kerana mesyuarat hari ini adalah untuk menentukan pewaris yang bakal menjadi Raja.

"Pelantikan Tengku Temenggong hanya sebagai pelengkap sahaja dan tidak melibatkan pewaris yang bakal mewarisi takhta kesultanan Kelantan," katanya.

Gelaran Tengku Temenggong sebelum ini adalah milik Tengku Muhammad Fakhry Petra namun ia ditarik balik oleh Sultan Muhammad ke-V baru-baru ini.

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.