Hospital Shah Alam Mangsa Rasuah Kroni Umno-BN

Oleh Dzulkarnain Taib

KUALA LUMPUR 20 Okt - Walaupun pendedahan demi pendedahan dibuat berhubung amalan rasuah dan penyelewengan yang dilakukan oleh Umno-Barisan Nasional serta kroni-kroninya namun keangkuhan mereka tidak mengetahui batas.

Ini berlaku dalam isu kelewatan pembinaan Hospital Shah Alam yang berharga RM480 juta yang terbengkalai sejak enam bulan lalu.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang telah berkali-kali mengutarakan dakwaan penyelewengan yang berlaku dalam projek tersebut sekali lagi mendedahkan Umno-BN masih menyerahkan pembinaan hospital itu kepada syarikat kroni walaupun subkontraktor sediada, GM Health Sdn Bhd bersediakan memberikan diskaun RM3 juta serta menjamin hospital disiapkan dalam tempoh yang lebih awal.

"Ini adalah kontraktor Bumiputera kelas A tetapi ditamatkan kontraknya oleh kontraktor utama, Sunshine Fleet kerana pertikaian berhubung pembayaran progresif. Lalu GM Health menawarkan kepada kerajaan untuk meneruskan projek ini dengan diskaun RM3 juta dan sanggup menyiapkan projek dalam tempoh 18 bulan. Walaupun syarikat itu telah membayar komisen kepada Sunshine Fleet tetapi ia masih sanggup untuk menerukan projek tersebut," jelas Khalid pada sidang media di lobi Parlimen tengahari tadi.

Khalid berkata sebaliknya berlaku apabila kerajaan tidak memberi respons kepada tawaran GM Health tetapi menamatkan kontrak Sunshine Fleet dan bercadangkan mentender semula projek tersebut.

"Kerajaan tidak membuat tender terbuka tetapi menjemput syarikat-syarikat tertentu. Kita khuatir jika tawaran GM Health tidak dilayan dan masih mahu bela kontraktor-kontraktor kroni, jemput 10 kontraktor yang merupakan kawan-kawan dan kroni, sudah pasti harga kontrak yang diberi akan lebih tinggi daripada harga asal.

"Inilah sikap Umno-BN, bila kontraktor yang dipilih gagal, tidak ada tindakan undang-undang diambil, lepas itu menenderkan semula projek, naikkan harga projek, makan komisen kiri kanan lagi tetapi kontraktor yang profesional, sanggup buat dengan harga yang lebih murah, tulis berkali-kali membuat tawaran tidak disambut dan diterima.

"Jadi sebenarnya Umno-BN menggunakan peluang ini untuk memberi kontrak yang baru dengan harga yang lebih tinggi supaya kroni dapat duit lagi, yang rugi akhirnya ialah rakyat yang terpaksa menanggung segala kerugian disebabkan rasuah. Sudahlah harga projek RM480 juta mahal kerana bagi hospital 300 katil, kos setiap katil hanya RM1 juta. Jadi sepatutnya harganya hanya RM300 juta sahaja," tegas Khalid lagi.

Tambah beliau, proses tender baru akan memakan masa 2 ke 3 bulan dan enam bulan lagi diperlukan untuk gerak kerja kontraktor baru yang akan menyebabkan kos pembinaan meningkat.

No comments

Powered by Blogger.