Isu air: SPRM minta k'jaan Kedah buat laporan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta kerajaan Kedah atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai apa yang didakwa sebagai penyelewengan berhubung isu air di negeri itu supaya membuat laporan.

azlanPengarah SPRM Kedah Datuk Idrus Jaafar berkata tanpa maklumat lengkap pihaknya tidak boleh menjalankan siasatan kerana kenyataan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengenai perkara itu menerusi media adalah terlalu umum.

Katanya, SPRM tetap akan melakukan tindakan susulan berikutan kenyataan menerusi media itu tetapi ia memerlukan maklumat khusus untuk memudahkan tindakan.

"Sumber maklumat kita macam-macam termasuk menerusi media tetapi kalau ada laporan lebih mudah. Mengenai isu itu, belum ada apa-apa maklumat rasmi daripada mana-mana pihak," katanya kepada pemberita di Alor Star hari ini.

Semalam Azizan berkata pihaknya telah mengenal pasti banyak penyelewengan yang berlaku semasa pemerintahan BN membabitkan isu air dan setiap dakwaan adalah berasaskan fakta serta rekod dan beliau menyerahkan kepada SPRM untuk menyiasatnya.

Azizan juga bukan tugasnya untuk membuat laporan kepada SPRM sebaliknya sesiapa sahaja boleh berbuat demikian kerana beliau telah membuat pendedahan mengenai penyelewengan itu.

Sebelum itu, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Nawawi Ahmad berkata BN Kedah tidak takut dengan ugutan Azizan untuk mendedahkan apa yang didakwanya sebagai penyelewengan berhubung isu air semasa BN memerintah Kedah sebelum ini dan meminta Azizan membuat laporan dengan SPRM.

Idrus berkata beliau percaya jika ada pendedahan dibuat, pihak-pihak berkaitan sudah pasti mempunyai maklumat lengkap untuk bekerjasama dengan SPRM.

Katanya maklumat lengkap diperlukan kerana dalam sesuatu perkara itu mungkin ada berlaku kesalahan tetapi jika kesalahan itu bukan berkaitan rasuah ia bukan di bawah SPRM.

"Kalau kesalahan itu bukan di bawah bidang kuasa kita, ia terpaksa dijalankan oleh pihak berkuasa yang lain," katanya.

- Bernama

1 comment

Pak Oncu said...

Apa punya bangkai bernyawa lah SPRM ni,,, kalu PAS di suruh buek laporan kalau BN pulak terus siasat !!!!!!!! Jahanam punya punya manusia !!!!

Powered by Blogger.