Janganlah anak menjadi mangsa perebutan hak menjaga

Setiap pasangan pengantin yang mendirikan rumah tangga sudah tentu tidak terlintas di benak mereka tentang kemungkinan tidak kekal bersama sehingga ke akhir hayat. Masakan itu yang timbul di sanubari mereka kerana saat itu merupakan langkah pertama menuju alam bahagia, mendirikan penghidupan yang baru, menempuh pelbagai dugaan bersama-sama. Itu kata kuncinya, bersama-sama.

Tetapi seperti yang kita sedia maklum, jodoh di tangan Tuhan. Kita hanya manusia yang berusaha tetapi jika sudah takdir menentukan, hidup yang dimulai dengan seribu satu janji dan sumpah setia yang muluk-muluk akan berakhir. Mungkin bercerai mati atau hidup tetapi kesan pada yang tinggal terutama sekali jika mereka sudah beranak-pinak memang mendalam.

Kita disaran supaya meneruskan hidup setelah apa-apa peristiwa malang menimpa diri termasuklah perceraian. Semakin cepat kita menghela nafas panjang dan meyakinkan diri bahawa yang sudah telah berlalu dan tidak mungkin kembali lagi, semakin mudahlah kita cuba mengharungi liku-liku hidup yang mendatang. Itu kata pakar perunding dan penasihat rumahtangga juga cendekiawan yang menjalankan kajian tentang psikolagi manusia.

Nasihat ini juga untuk anak-anak hasil perpisahan kedua-dua ibu bapa. Sejauh mana keberkesanan panduan hidup ini?

Anak-anak terutama sekali yang belum mengerti apa-apa mungkin boleh melalui tempoh duka ini dengan cemerlang. Apa yang membimbangkan ialah kesan perceraian terhadap mereka yang telah mula berfikir sendiri. Tidak semestinya mereka telah bersekolah, kumpulan ini juga meliputi kanak-kanak yang sudah boleh menyoal kenapa dan mengapa sesuatu itu berlaku. Ketiadaan salah satu orang yang terdekat dengan mereka sejak lahir pasti membuahkan pelbagai pertanyaan.

Kanak-kanak dikatakan mempunyai keupayaan mengadaptasi diri dengan mudah dan cepat terhadap sesuatu situassi yang dialami. Apa yang perlu ditekankan ialah kasih sayang terhadap mereka tidak berubah. Kedua-dua orang tua masih sayang pada mereka walaupun perpisahan terjadi.

Realitinya tidaklah semudah itu.

Kearifan hakim diduga

Banyak sekali kes-kes sensasi tersiar di media massa tentang perebutan hak menjaga anak. Peratusan kes perceraian mungkin tetap kekal pada tahap yang sama dalam dua tiga dekad kebelakangan ini tetapi daripada segi jumlah telah mencapai hampir 30,000 kes pada tahun 2007.

Mulai tahun 2006, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah memperkenal dan melaksanakan program Kursus pra-perkahwinan Smartstart untuk pasangan yang akan dan baru berkahwin dalam tempoh perkahwinan lima tahun ke bawah. Satu usaha yang murni tetapi sudah adakah tinjauan tentang keberkesanannya?

Berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia tahun 2000, peratusan bercerai/berpisah bagi penduduk yang berumur 15 tahun dan ke atas adalah kecil iaitu 0.8 peratus sahaja.

Jangan leka dengan peratusan yang kecil itu. Walaupun jika jumlahnya hanya 1,000 atau 100 kanak-kanak yang terlibat dalam kes perceraian di seluruh negara, kesannya tetap mendalam dan mesti diberi perhatian. Setakat ini memang ada peruntukan undang-undang yang cuba memberi perhatian pada kebajikan kanak-kanak yang terseret ke dalam kancah pergelutan kedua-dua orang tua mereka.

Undang-undang sudah termaktub dan hakim akan memberi keputusan. Tetapi adakah masing-masing pulang ke rumah dengan hati riang gembira?

Barangkali tidak.

Pemerhatian secara rambang tentang kes-kes perceraian yang melibatkan kanak-kanak menunjukkan lebih banyak air mata yang mengalir, hati terluka, dendam kesumat tertanam di lubuk kalbu setiap orang yang terlibat setelah prosiding di mahkamah selesai.

Pada zahirnya kebajikan kanak-kanak itu memang dititikberatkan tetapi sejauh mana pula pengaruh orang dewasa terhadap keputusan kanak-kanak itu sendiri apabila ditanya tentang perasaan dirinya. Kadang-kadang, kanak-kanak itu sengaja diperalatkan oleh ibubapa itu sendiri dalam proses mendapatkan keputusan yang memihak kepada salah seorang daripada mereka. Jika kanak-kanak itu belum mampu berfikir sendiri, pasti jawapan yang diberi berdasarkan tunjuk ajar mereka yang terbabit.

Baru-baru ini tersiar pula berita tentang kanak-kanak yang tersepit di antara perasaan kasih terhadap ayahnya dengan perintah mahkamah yang memberikan ibunya hak menjaganya. Sehinggakan si ayah terpaksa meringkuk di penjara kerana tidak mengikut arahan mahkamah. Siapa yang benar, siapa yang salah. Tidak ada siapa yang benar-benar tahu.

Apa yang diketahui, sepasang suami isteri telah berpisah dan anak mereka menjadi rebutan. Mengikut berita tersebut, kanak-kanak tersebut masih tidak mahu dengan ibunya dan telah cuba melarikan diri apabila bersama. Apakah yang menyebabkan kanak-kanak tersebut bersikap demikian?

Kita sentiasa berfikir si ibu merupakan yang paling layak menjaga anak. Tetapi dalam kes tadi, si anak pula tidak bersetuju dengan pandangan itu. Patutkah mahkamah mengambilkira perasaan si anak atau terus menekankan bahawa si ibulah yang berhak berdasarkan fakta kes dan hujah peguam. Dilema menanti si hakim kerana dia diberi tugas mengadili untuk kebaikan semua, terutama sekali si anak. Dalam kes ini, si anak masih menjadi mangsa, tidak terbela.

Fikirkan kesan kepada kanak-kanak

Kanak-kanak mangsa perceraian lambat-laun akan menjadi dewasa. Peristiwa yang membabitkan mereka ketika mereka anak-anak mungkin boleh dilupakan dalam kesibukan dan keriuhan lingkungan keluarga dan rakan-rakan.

Dilupakan? Terbuku di hati? Atau secara tidak langsung telah berakar umbi dalam jiwa mereka satu perasaan yang lain daripada anak-anak lain.

Inilah yang perlu ditangani oleh penjaga, yang bertanggung-jawab membesarkan anak-anak tersebut dengan penuh kasih sayang dan tidak mengabaikan hak pihak yang tidak menjaga. Memang satu usaha yang sukar kerana sebagai pihak yang berpisah, tentu ada juga perasaan marah terhadap pihak lawan. Tetapi kanak-kanak itu hasil perkongsian hidup berdua. Tidak lahir semena-mena.

Kasih sayang memang memainkan peranan yang utama dalam mana-mana kes perceraian. Kes perceraian timbul kerana kasih yang terjalin telah hilang, punah kerana pelbagai sebab. Kasih sayang perlu dikekalkan supaya anak-anak tidak tersisih, terdampar tanpa petunjuk daripada yang lebih tua.

Anak-anak bukan orang dewasa. Sementelah orang dewasa pun akan terluka hatinya apabila menghadapi peristiwa yang menyayat hati, inikan pula anak-anak. Anak-anak satu anugerah, jangan disia-siakan. Ibu bapa boleh bertikam lidah, bertekak, terpekik terlolong, tapi janganlah anak-anak itu menjadi mangsa.

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.