Kadar Penembusan Telefon Selular Dijangka Meningkat Ekoran Pengecualian Cukai Jualan

Kadar penembusan telefon selular di negara ini dijangka terus meningkat berikutan pengumuman Bajet 2011 semalam membabitkan pengecualian cukai jualan 10 peratus bagi semua jenis telefon bimbit, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata kadar penembusan semasa di negara ini agak tinggi iaitu pada 108.1 peratus bagi suku pertama tahun ini, oleh itu, pengecualian cukai itu akan menggalakkan lebih ramai orang membeli telefon bimbit dan menaik taraf teknologi telefon mereka.

"Berita mengenai pengecualian cukai jualan itu amat dialu-alukan dan merupakan sesuatu yang sentiasa dipohon oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) serta Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Jambori Pengakap Sedunia Di Udara (JOTA) kali ke-53 dan Jambori Pengakap Sedunia Di Internet (JOTI) kali ke-14, yang dianjurkan oleh Persatuan Pengakap Malaysia cawangan Sabah di Simpang Mengayau di sini. Dr Ongkili berkata sebelum ini hanya Personal Digital Assistant (PDA) sahaja yang dikecualikan daripada cukai.

"Cukai itu tidak seharusnya dikenakan ke atas telefon berharga murah yang lazimnya digunakan oleh golongan berpendapatan rendah. Pengecualian yang menyeluruh ini akan membolehkan lebih ramai orang memiliki telefon yang lebih baik," katanya.

Oleh itu, berikutan lebih banyak permintaan untuk telefon pintar dan dilengkapi kemudahan internet, pemaju kandungan tempatan juga akan terdorong untuk terus menghasilkan inovasi untuk memenuhi permintaan bagi kandungan serta aplikasi yang membawa manfaat kepada industri, katanya.

Dr Ongkili berkata cadangan Bajet 2011 adalah mesra rakyat dan menegaskan mengenai keperluan penduduk kebanyakan, misalnya skim perumahan yang baru.

Ini termasuk pinjaman penuh untuk membeli rumah kali pertama dengan pendapatan keluarga kurang daripada RM3,000, bantuan kewangan untuk pembinaan dan pembaikan kira-kira 12,000 rumah di seluruh negara - terutamanya di Sabah and Sarawak dan skim bagi pekerja ladang.

Bajet ini adalah Bajet 1Malaysia, yang mengambil kira pandangan yang disuarakan oleh rakyat dan menggabungkan langkah untuk merealisasikan Bidang Keberhasilan Utama Negara," katanya.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.