Kami Perlu Kuat Untuk Teruskan Kehidupan – Rita

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25,
mempunyai kecekalan luar biasa dan beliau sangat tabah dalam melalui episod
tragis yang menyaksikan ibunya menjadi mangsa pembunuhan kejam.

Mesra dipanggil Rita, anak sulung kepada jutawan kosmetik Datuk Sosilawati
Lawiya yang disahkan dibunuh bersama tiga lagi individu lain, mempunyai aras
ketahanan emosi yang cukup tinggi, maka tidak hairanlah ketabahan beliau
dikagumi.

Rita ketika ditemui Bernama berkata sekuat mana sekalipun hatinya cuba
menahan air mata daripada menitis, hakikatnya hanya tuhan sahaja yang mengerti
penderitaan dan kesedihan yang dilalui beliau bersama lima beradik.

“Memang nampak saya tenang.. kalau ikutkan hati, saya memang sangat bersedih
tetapi saya tidak mahu melayan kesedihan dan berendam air mata kerana saya tidak
rela melihat adik-adik yang lain turut menangis.

“Kesedihan kami biarlah hanya keluarga yang tahu, kami tidak mahu kelak
dikatakan meminta simpati.. kami perlu kuat melalui masa mendatang dan teruskan
kehidupan meskipun tanpa ibu di sisi,” katanya seperti yang dilapor Bernama,
di pejabatnya di Kampung Baru.

Bagi mengurangkan rasa sedih dan tertekan, Rita berkata, setiap hari beliau
dan adik-adiknya akan berlagak seperti biasa dengan menceriakan dan
menggembirakan satu sama lain.

“Walaupn bersedih tetapi masing-masing cuba menggembirakan satu sama
lain… meskipun kehilangan ibu merentap kebahagiaan kami adik-beradik, namun
kami tidak akan melupakan tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Anak-anak allahyarham Sosilawati yang lain ialah Erwan Suwari Ridzuan, 24,
Erni Erinawati Sofea, 21 tahun, Md Erwan Nasri, 23, Erni Reenilawati, 20, dan
Siti Nur Fatimah, 13, hasil perkahwinan pertamanya dengan Buhari Mohamad.

Rita bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan rasa sedih dan kecewa
terhadap sikap keluarga kepada rakan-rakan sekolah Siti Nur Fatimah serta pihak
sekolah antarabangsa yang seperti kurang peka akan perasaan adik bongsunya itu.

Katanya pihak-pihak berkenaan seharusnya memahami situasi yang dilalui
mereka sekeluarga terutamanya perasaan Siti Nur Fatimah yang tertekan apabila
kejadian yang menimpa ibunya itu sering ditanya berulang-ulang kali saban hari.

“Di sekolah, guru-guru dan rakan-rakan yang menerima pesanan dari keluarga,
kerap bertanya tentang ibu kepada adik.. saya khuatir soalan itu akan membuatkan
adik semakin tertekan dan mengganggu fikirannya.

“Adik sering bersedih apabila pulang dari sekolah kerana sering ‘diingatkan’
tentang kejadian yang menimpa ibu… saya cuma mahu pihak-pihak tersebut membaca
akhbar sekiranya mahu mengetahui perihal kes tersebut, jangan tanya pada adik
lagi,” katanya.

Rita berkata beliau tidak membenarkan adik bongsunya itu membaca surat
khabar kerana dikhuatiri apa yang dipaparkan di media akan terserap ke dalam
ingatannya.

Bagi mengelakkan Siti Nur Fatimah daripada berasa tertekan akan berita yang
tidak tepat, mereka akan memberitahu sendiri fakta perkembangan kes tersebut
kepada adik bongsu mereka itu, hasil ‘update’ dari pihak polis.

“Saya kesal dengan paparan dan andaian yang dicetuskan pihak luar termasuk
pihak media kerana ia tidak datang dari mulut saya atau pihak polis sendiri..
saya khuatir dengan pengaruh akhbar akan membuatkan keluarga lebih tertekan dan
orang di luar keliru,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.