Mahasiswa ‘UKM4′ kecewa anugerah Dekan dibekukan

Oleh Staf FMT

PETALING JAYA: Salah seorang pelajar ‘UKM4′ yang mencabar Seksyen 15 (a) Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971, Woon King Chai nyata kecewa dengan keputusan pentadbiran universiti itu yang menggantung anugerah dekan dimenanginya sehingga kes mahkamahnya selesai.

Menurut King Chai, beliau hanya dimaklumkan keputusan itu petang semalam sedangkan keputusan tersebut telah dibuat Ogos lalu.

"Menurut penolong pendaftar fakulti yang dikenali sebagai Puan Norashikin, berkata pihak perundangan UKM menahan saya daripada menerima anugerah itu sehingga kes di mahkamah selesai.

"Padahal kes dan pencapaian akademik adalah perkara yg lain, dan tanpa mengikuti apa-apa prosedur atau memaklumkan kepada saya lebih awal, nama saya telah ditahan daripada menerima anugerah itu tambahan lagi, keputusan ini dibuat pada bulan Ogos.

"Kenapa sampai hari ini tak pernah dimaklumkan, saya kecewa dengan keputusan ini," soalnya.

Jurusan sains politik

King Chai 22, yang merupakan mahasiswa tahun kedua jurusan sains politik, pernah memenangi Anugerah Siswa Harapan ketika tahun pertama pengajian 2008/2009.

Woon bersama tiga rakannya lagi iaitu – Muhamad Hilman Idham, 21, Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adzha, kedua-dua mereka 22 – kini menghadapi tindakan digantung kerana didakwa terbabit dengan kempen di Hulu Selangor.

Keempat-empat mereka mencabar tindakan universiti itu yang mendakwa mereka di bawah Akta AUKU dengan menghalang mereka daripada terlibat dalam aktiviti politik.

Kelab Sains Politik yang disertai keempat-empat mahasiswa terbabit turut dibubarkan selepas berdepan dengan kes mahkamah itu.

Rabu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan injunksi mereka iaitu (status quo dikekalkan sehingga rayuan didengar di Mahkamah Rayuan) dalam menghalang universiti itu berbuat demikian.

No comments

Powered by Blogger.