Penganggur Didakwa Tawar Dan Beri Suapan RM100,000 Kepada Inspektor Polis

SHAH ALAM, 7 Okt (Bernama) -- Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis terhadap tuduhan menawar dan memberi suapan wang tunai RM100,000 kepada seorang inspektor polis sebagai dorongan untuk tidak menyerahkannya kepada polis Kelantan untuk siasatan lanjut berhubung pengakuannya sebagai pengedar dadah di negeri itu.

Wan Muhammad Azlan Wan Mahamod, 22, dari Pasir Mas, Kelantan, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Wan Muhammad Azlan didakwa menawar suapan itu kepada Inspektor V.Mohana Sundaram yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Subang Jaya, sebagai dorongan untuk tidak menyerahkannya kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan untuk siasatan lanjut berhubung pengakuan tertuduh sebagai pengedar dadah jenis pil kuda di Kelantan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 7.30 malam 27 Sept lepas.

Wan Muhammad Azlan juga didakwa telah memberi suapan wang tunai RM100,000 kepada Mohana Sundaram melalui seorang bapa saudara tertuduh, sebagai dorongan untuk melakukan perkara yang sama pada 1.45 petang keesokan harinya.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Subang Jaya, Balai Polis Bukit Puchong, Bandar Puchong Utama, Puchong.

Wan Muhammad Azlan didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Fieza Fazlin Fandi mencadangkan agar tertuduh dibenarkan dikat jamin sebanyak RM30,000 bagi tuduhan menawarkan rasuah dan RM50,000 bagi tuduhan memberi rasuah.

Wan Muhammad Azlan bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan dia tidak bekerja dan mempunyai isteri serta seorang anak. Tertuduh berkata dia hanya mampu membayar ikat jamin sebanyak RM20,000.

Hakim Mat Ghani kemudian bertanya kepada Wan Muhammad Azlan tujuan beliau berada di Shah Alam sedangkan dia dari Kelantan, dan tertuduh menjawab dia sedang mencari pekerjaaan.

"Memandangkan jumlah wang (suapan) yang terlibat adalah tinggi, jadi kena beri ikat jamin tinggi kerana saya rasa awak mampu," kata hakim.

Beliau kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 15 Nov ini untuk membolehkan tertuduh melantik peguam.

Bapa saudara dan seorang adik lelaki Wan Muhammad Azlan turut dihadapkan ke mahkamah yang sama kerana tuduhan bersubahat dengan tertuduh memberi suapan wang tunai RM100,000 kepada Mohana Sundaram sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan yang sama.

Bapa saudaranya Mohd Kamal Mohd Zin, 39, dari Tumpat, Kelantan, dan adiknya Wan Muhammad Azim Wan Mahamod, 20, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama.

Mat Ghani membenarkan Mohd Kamal, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, dan Wan Muhammad Azim, pelajar sebuah institusi pengajian swasta di Kelantan, diikat jamin RM30,000 setiap seorang.

Mahkamah turut menetapkan 15 Nov untuk sebutan dan bagi kedua-duanya melantik peguam.

No comments

Powered by Blogger.