Agong Anugerah Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat Persekutuan

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Bekas Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Leftenan Jeneral Tan Sri Mohd Yunus Mohd Tasi mengetuai 260 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 7 Jun lepas.

Mohd Yunus adalah antara empat penerima darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri pada istiadat pengurniaan yang berlangsung di Balai Rong Seri, Istana Negara di sini pada Khamis.

Pada istiadat penganugerahan itu tiga lagi penerima PSM ialah Pengerusi Eksekutif I-Berhad, Shah Alam, Selangor, Tan Sri Lim Kim Hong, Ketua Pegawai Eksekutif, Kuala Lumpur Kepong Berhad, Ipoh, Perak Tan Sri Lee Oi Hian dan tokoh veteran MCA dari Melaka Tan Sri Tan Cheng Swee@ Tan Chin Swee.

Empat orang menerima darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk, iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Abd Jabar Che Nai, Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Terengganu Datuk Mohd Nasir Ibrahim @ Ibrahim Fikri dan anggota Dewan Undangan Negeri Lambir, Sarawak Datuk Aidan Wing.

Selain itu, Ketua Jabatan Perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) Datuk Dr S. Jeyaindran dan bekas Pakar Perunding Bedah Kehormat Kementerian Kesihatan Datuk Emeritus Prof Russell Walker Strong dari Australia menerima PJN (Kehormat).

Tiga orang menerima darjah Panglima Setia DiRaja (PSD) yang membawa gelaran Datuk, terdiri daripada Setiausaha Bahagian, Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri Datuk Wan Hamidah Wan Ibrahim, Pakar Bedah Ortopaedik Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur Datuk Dr Mohd Asri Abd Ghapar dan Ketua Nefrologi dan Pemindahan Buah Pinggang Prince Court Medical Centre Datuk Dr Tan Si Yen.

Sementara itu, dua orang menerima Johan Mangku Negara (JMN), 12 orang menerima Johan Setia Mahkota (JSM), dua orang menerima Johan Setia Diraja (JSD), 47 orang menerima Kesatria Mangku Negara (KMN), lapan orang menerima Kesatria Setia Diraja (KSD), 68 orang menerima Ahli Mangku Negara (AMN), 96 orang menerima Pingat Pangkuan Negara (PPN) dan 13 orang menerima Bentara Setia Diraja (BSD).

No comments

Powered by Blogger.