Sistem Baru Ganti Upsr Perlu Tekankan Pendidikan Agama Dan Moral

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Sistem baru, yang akan menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai 2016, perlu memberi penekanan terhadap mata pelajaran Pengajian Islam atau Pendidikan Moral dan Pengajian Sivik sebagai satu kaedah menangani masalah sosial yang semakin membimbangkan, demikian menurut seorang perwakilan Wanita Umno.

Ketua Wanita Umno Alor Gajah Datuk Norpipah Abdol berkata pendekatan itu penting bagi memastikan generasi akan datang diberi penekanan tentang agama dan moral sejak kecil lagi, sepertimana kata pepatah "melentur buluh biarlah dari rebungnya".

"Saya percaya pakar-pakar bidang pendidikan dan golongan pendidik lebih arif berhubung bentuk penilaian bagaimanakah yang sesuai untuk membentuk sahsiah dan disiplin pelajar-pelajar sekolah rendah sebelum mereka memasuki alam sekolah menengah agar penekanan terhadap lulus peperikaan semata-mata tidak lagi jadi keutamaan," katanya semasa membahaskan Usul Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Wanita Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2010, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Rabu.

Usul itu dicadangkan anggota perwakilan Kelantan Datin Rahimah Mohamed yang juga Ketua Wanita Umno Kelantan, dan disokong oleh Ketua Wanita Umno Subang, Halimaton Saadiah Bohan.

Norpipah berkata Kementerian Pelajaran seharusnya mencari sinergi dengan pihak-pihak berkuasa agama negeri agar sekolah-sekolah rendah agama dijadikan pelantar penting dalam kerangka pembentukan akhlak dan sahsiah generasi muda khususnya umat Melayu.

Beliau berkata antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuklah mewajibkan anak-anak mengikuti persekolahan itu sebelum atau selepas waktu persekolahan kebangsaan, selain membangunkan sumber manusia di sekolah-sekolah rendah agama seperti latihan pengajaran dan pembelajaran (P&P) dan membaiki sistem ganjaran untuk guru-gurunya.

Norpipah berkata kerajaan juga perlu membangunkan makmal khusus untuk menangani isu-isu sosial seperti mana penubuhan makmal di bawah kerangka Model Ekonomi Baru (MBE) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), yang mampu mengenal pasti profail, punca, keseriusan dan kelaziman semua penyakit sosial dan mengesyorkan kaedah-kaedah penyelesaiannya.

Pendidikan Al Quran juga perlu diberi keutamaan penting dalam pendidikan awal anak-anak terutama untuk bangsa Melayu, selain penguatkuasaan undang-undang lebih tegas terutama berkait bahan-bahan lucah atau pornografi, sama ada dalam bentuk perkasasan atau perisian, katanya.

Norpipah berkata masalah sosial seharusnya diberi perhatian rapi memandangkan ia semakin berleluasa akhir-akhir ini.

Ketika menyentuh isu itu, beliau memetik statistik Jabatan Pendaftaran Negara iaitu 214,033 kelahiran anak tak sah taraf direkodkan dari 2005 hingga 2009 di seluruh negara, manakala sepanjang tahun lalu, sejumlah 17,303 kelahiran anak luar nikah direkodkan oleh bangsa Melayu.

Rekod Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pula menunjukkan terdapat 11,722 penagih direkodkan sepanjang 2008, terdiri daripada 5,651 penagih baru dan 6,121 penagih berulang, yang bersamaan dengan 17 penagih baru dan 19 penagih berulang sehari.

tolong ajar rosmah dan bini pemimpin besar pasal agama islam, jangan dok jadi kurang ajar hina agama islam yang suci!

No comments

Powered by Blogger.