Umno rosak kerana pemimpin syok sendiri bukannya ahli, kata perwakilan

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Mengambil iktibar amanat Presiden Umno pagi tadi, seorang perwakilan Umno Melaka menyifatkan pemimpin parti Melayu itu seperti “syok sendiri dengan angin-angin syurga” yang dihamburkan kepada diri mereka sehingga lupa tanggungjawab terhadap rakyat.

Ahli Parlimen Jasin Datuk Mohd Said Yusof berkata, masalah yang membelenggu Umno selama ini adalah disebabkan kerana sikap pemimpin.

“Masalah yang timbul dalam Umno bukan kerana ahlinya tapi kerana pemimpin.

“Kerana akhir-akhir ini pemimpin kita cukup syok dengan angin-angin syurga yang dihamburkan, pengampu dan hipokrit.

“Orang yang macam ini yang pemimpin kita kayakan. Mereka ini bila kaya tidak turun ke bahagian, tidak turun ke cawangan, mereka tidak bantu akar umbi,” katan beliau pada Perhimpunan Agung Umno 2010 hari ini.

Mohd Said berkata, pemimpin Umno perlu menyelesaikan segala masalah yang berlaku dalam parti itu sebelum musnah kerana angkara sendiri.

“Sebagai pemimpin kita kena tegas, jangan syok dengan peribahasa sahaja tanpa ambil tindakan.

“Adakah mahu tunggu semua hancur baru nak respons? Lebih baik kita perbaiki apa yang lemah,” katanya.

Sambil mengambil kira keruntuhan kerajaan Kesulatnan Melayu Melaka, Mohd Said juga menegaskan parti itu perlu kuat untuk mengharungi apa sahaja cabaran.

“Kita perlu memastikan Umno terus kuat, jangan jadi macam Melaka dulu. Semua berpecah, bila kena serang kita kena jajah.

“Berapa ratus tahun kita dijajah dulu, kita pasti tidak mahu perkara sama berlaku.

“Jadi apa yang penting sekarang kita perlu bersatu, kuatkan parti supaya dalam pilihan raya ke-13 nanti kita mampu menang besar,” katanya.

Menurutnya, pemimpin parti itu perlu berusaha lebih keras untuk mendapatkan semula sokongan rakyat terutamanya orang Melayu.

“Saya seru supaya semua pemimpin lakukan kerja, balik buat kerja dengan rakyat. Kalau tidak, hilang Umno hilanglah Melayu.

“Pergilah buat kerja, pergilah mana-mana undi yang kalah atau nak kalah. Jumpa orang-orang kampung, buat kerja.

“Ini politik, janganlah nak tunjuk sangat.. Kita kena turun ke bawah bantu rakyat,” katanya.

Perwakilan Terengganu Saiful Bahri Baharuddin yang kecewa dengan sikap pemimpin PAS dan PKR, yang seolah-olah mengetepikan Islam kerana kepentingan sendiri, menyifatkan kedua-dua parti komponen Pakatan Rakyat itu tunduk terhadap DAP.

“Sekarang kita lihat PAS dan DAP tunduk dan melutut di kaki DAP, malah pemimpin mereka mendengar apa sahaja yang dikatakan parti itu (DAP).

“Jadi Umno sebagai sebuah parti Melayu harus menggunakan pendekatan menyerang secara agresif terhadap parti-parti pembangkang terutamanya DAP yang sememangnya anti-Islam,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa tiada parti lain di negara ini yang dapat mempertahankan Perlembagaan Persekutuan kecuali Umno.

“Umno tidak boleh mengharapkan orang lain untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

“Kita perlu berjuang untuk mempertahankan Perlembagaan dan agama Islam sebagai agama rasmi.

“Jadi kita perlu mempertahankan orang Melayu dan Perlembagaan negara kita,” katanya.

Saiful Bahri juga mencadangkan agar ekuiti Bumiputera dinaikkan kepada 65 peratus dengan berdasarkan pecahan kaum di negara ini.

“Saya mencadangkan agak ekuiti dinaikkan sehingga 65 peratus berdasarkan pecahan kaum di negara ini.

“Ini berdasarkan prinsip kesaksamaan dan hak asasi,” katanya.

Ketua Umno Parit Sulong Datuk Ahmad Zahri Jamil berkata, Umno sentiasa mengiktiraf peranan kaum lain dalam usaha membangunkan negara dan menerima hakikat ditakdirkan bersama dalam satu negara untuk menjunjung cita-cita dan berkongsi masa depan.

Kata beliau, untuk mencapai matlamat itu, semua pihak perlu berkorban dan mengenepikan kepentingan diri jika perlu.

“Setiap orang diminta membuat pengorbanan, tetapi tidak seorangpun atau satu kumpulan etnik pun yang diminta mengorbankannya semua sekali.

“Orang Melayu bukan mahu bolot kesemuanya,” katanya.

Ahmad Zahri, yang mewakili Badan Perhubungan Umno Johor mencadangkan supaya bagi membolehkan semua kaum memperoleh kesejahteraan maka sewajarnya kumpulan majoriti yang ketinggalan diberi tumpuan dan pembelaan.

“Bantuan dan sokongan kepada yang miskin dan teramai mestilah ditingkatkan daripada melonggokkan peluang kemewahan kepada yang sudah meraih kejayaan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan enam perkara untuk dibincangkan oleh anggota perwakilan iaitu:

* Menyedarkan anggota parti mengenai lanskap politik yang perlu ditangani dengan kebijaksanaan dan pendekatan baru;

* Mendesak supaya keluhuran perlembagaan dipertahankan;

* Memperakui betapa pentingnya kerajaan Barisan Nasional yang menerajui pimpinan negara supaya pelan transformasi kerajaan dan ekonomi berlandaskanperlembagaan;

* Menyokong kesungguhan Presiden melaksanakan transformasi bagi menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (PTE) dan Rancangan Malaysia ke-10.

* Menyeru pemimpin Umno dan parti komponen di semua mengambil langkah segera untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan mereka serta ahli-ahli dalam melakukan transformasi parti bagi mengembalikan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional dan;

* Menggesa seluruh anggota Umno dan parti komponen memberi tumpuan kepada gerak kerja pilihan raya agar Barisan Nasional mendapat mandat penuh rakyat untuk memimpin negara.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita Bahagian Kapar Norliza Ahmad, yang menyokong usul itu, meminta supaya perkara-perkara teras yang menjadi asas pembentukan negara 53 tahun lalu dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan diberi perhatian dan disematkan dalam diri generasi muda.

Katanya berkata hakikat ini perlu dijelaskan kepada golongan pelapis itu supaya mereka dapat menjadi pemimpin yang baik pada masa akan datang.

“Golongan muda kini terdiri 43.3 peratus rakyat dan mereka lah yang sedang cuba mencorak, menukar dan menerajui kepimpinan negara pada zaman akan datang.

“Jadi mereka perlu menerima dengan hati terbuka dengan landskap kehidupan masyarakat yang berbilang kaum dan menganggap bahawa kemajmukan ini merupakan satu keistimewaan dan kelebihan kepada negara,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.