Umno Semstinya Telus Dan Terbuka Kepada Semua Media

Oleh Syed Imran

Hari pertama Perhimpunan Agung UMNO selepas perasmian persidangan tiga sayap parti itu malam tadi oleh Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, memperlihat ketidaktelusnya parti itu terhadap liputan media, sama ada yang disebut sebagai arus perdana, media rasmi, media tradisional mahupun media alternatif atau media dalam talian.

Kepimpinan UMNO sering memperkatakan mengenai sikap terbuka dan telus parti itu dan betapa mereka menghormati dan melaksanakan kebebasan media, walaupun kita terima hakikat tiada kebebasan mutlak, seperti yang selalu ditegaskan oleh Presidennya Datuk Seri Muhamad Najib Tun Razak.




Sebagai sebuah parti politik yang berpengalaman dan telah dan sedang menerajui pentadbiran negara, persidangan UMNO sudah tentu mendapat liputan bukan sahaja oleh media dalam negeri tetapi oleh media serantau dan antarabangsa.

Ini lah peluang terbaik bagi UMNO menghebahkan arah tuju perjuangan dan secara tidak langsung arah tuju pentadbiran negara kepada rakyat dan juga warga dunia. Sebab itulah media serantau dan antarabangsa berminat dan merasakan penting untuk membuat liputan.

Melalui persidangan sedemikian juga UMNO dapat membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia mengamalkan kebebasan media dengan membenarkan semua media yang memohon untuk membuat liputan diberi kebenaran berbuat demikian.

Dengan mengamalkan sikap terbuka dan telus, UMNO membolehkan media membuat liputan sebenar tentang apa yang diperbahaskan dan apa yang berlaku dalam persidangan itu. Pihak media pula tidak perlu mendapatkan sebarang maklumat daripada pihak ketiga kecuali agensi-agensi berita yang membuat liputan.

Oleh itu, tindakan pihak UMNO, yang dilaporkan sebagai pegawai dari pejabat Setiausaha Agung UMNO T. Adnan T. Mansor, melarang dan mengusir para wartawan dari media dalam talian, Malaysiakini, daripada menggunakan kemudahan pusat media dan melarang mereka daripada memasuki semua dewan persidangan, amat dikesali.

Pada 5 Oktober, dalam temubual ekslusif dengan Malaysiakini, T Adnan memberi jaminan kepada Malaysiakini bahawa wartawan mereka akan diberi pas media untuk membuat liputan. Apa dah jadi dengan janji tersebut menjadi persoalan kerana manusia dipegang pada janjinya.

UMNO tidak boleh mempersalahkan Malaysiakini sekiranya laporan mereka tersimpang dan tersasar kerana mereka tidak diberi peluang sama seperti media lain untuk membuat liputan. Sikap sedemikian juga boleh merenggangkan hubungan antara media berkenaan dengan UMNO.

UMNO tidak boleh memilih bulu apabila ia berhadapan dengan media kerana peranan media, terutamanya media dalam talian seperti Malaysiakini, tidak kurang pentingnya pada zaman sekarang. UMNO juga harus sedar bahawa generasi muda yang ia cuba dekati, lebih gemar menyusuri laman-laman sesawang media alternatif, blog, Facebook dan Twitter daripada membaca akhbar tradisional.

Pejabat Setiausaha Agung UMNO seharusnya peka akan perkembangan semasa dan mendekati semua bentuk dan jenis media. Ia mesti mesra semua media demi kelangsungan hidup parti itu sendiri.

No comments

Powered by Blogger.