Zaid mahu dakwaan Rahimi disiasat

PETALING JAYA: Ketua PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim mahu siasatan dilakukan pihak berkuasa berhubung dakwaan bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rahimi Osman yang dipaksa menandatangani surat akuan bersumpah.

"Dakwaan Rahimi perlu disiasat. Ia boleh jadi benar atau tidak. Maka siasatan menyeluruh daripada pihak berkuasa perlu," katanya memberi reaksi kepada sidang akhbar dibuat Rahimi semalam.

Zaid yang juga pengamal undang-undang, berkata kes dakwaan Rahimi dengan kes penyiasat persendirian P Balasubramaniam adalah sama.

P Balasubramaniam mengubah akuan bersumpahnya pada 2008 lalu, sebelum melarikan diri ke luar negara.

"Kes Rahimi sama seperti PI Bala. Jika anda perlu menyiasat dakwaan Bala maka ia perlu dilakukan ke atas Rahimi juga.

"Tidak boleh ada double standard untuk Bala dan Rahimi," katanya yang juga ahli MAJLIS pimpinan PUSAT PKR.

Rahimi semalam melalui sidang medianya berkata beliau dipaksa menandatangani akaun bersumpah yang melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

No comments

Powered by Blogger.