Kementerian Teliti Semua Opsyen Berkaitan Projek Loji Rawatan Air Langat 2, Kata Chin

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air kini meneliti semua opsyen yang ada termasuk opsyen perundangan bagi memastikan pelaksanaan projek Loji Rawatan Air Langat 2 dapat diteruskan seperti yang dirancang, kata Menterinya Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Beliau berkata kementerian akan terus berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik untuk meneruskan pelaksanaan projek itu walaupun kerajaan negeri berpendapat bekalan air bagi pengguna-pengguna di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya masih mencukupi sehingga tahun 2019.

Chin berkata pembinaan loji rawatan air berskala besar dan jajaran paip memerlukan masa untuk disiapkan lebih-lebih lagi di kawasan yang sibuk seperti di Lembah Klang.

"Oleh itu, tempoh tiga tahun setengah yang diperuntukkan sekarang ini amat kritikal bagi memastikan loji tersebut disiapkan dan mampu membekalkan air menjelang tahun 2014 nanti," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Chin turut menolak kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berkata kementerian mengugut untuk menyaman kerajaan negeri dan menolak tuduhan yang beliau mengambil sikap bermusuh dengan kerajaan negeri berkenaan pelaksanaan projek itu.

"Kerajaan negeri sewajarnya memberikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya terhadap inisiatif yang diusahakan oleh kerajaan persekutuan termasuklah menyokong pelaksanaan projek tersebut dan tidak mengaitkan dengan isu penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negeri Selangor," katanya.

Chin berkata kerajaan persekutuan menyambut baik tindakan kerajaan negeri melantik Pengarah Kawal Selia Air dan berharap agar beliau dapat bekerjasama dengan pegawai-pegawai kementerian dan diberi mandat yang mencukupi bagi memastikan pelaksanaan projek tersebut dapat disegerakan.

No comments

Powered by Blogger.