Azmin ikrar pertahankan MB Selangor

Oleh HADRI AZIZ

SHAH ALAM 20 Nov – Calon Timbalan Presiden Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN), Azmin Ali berikrar mempertahankan, Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor, sekali gus menyangkal persepsi beliau mempertikai kepimpinan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Guthrie itu menerajui kerajaan negeri itu.

Beliau juga berjanji akan mempertahankan dasar Pakatan Rakyat (Pakatan) di Selangor selain menegakkan keadilan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat pusat.

Media sebelum ini memaparkan dakwaan kononnya ketidakpuasan hati Azmin terhadap cara Tan Sri Khalid mengendalikan ekonomi di negeri itu dengan menyifatkan percaturan lembab Menteri Besar mengakibatkan Selangor kehilangan sejumlah besar peluang perniagaan.

Azmin yang hadir bersama kepimpinan KEADILAN lain di program Rapat Umum Anwar Ibrahim di Auditorium MBSA, Shah Alam malam tadi, bertegas Selangor akan dijadikan tapak pencetus momentum perjuangan KEADILAN.

“Saya ucapkan terima kasih atas sokongan hebat KEADILAN negeri Selangor, kerana di sini merupakan tapak pelancaran kepada perjuangan KEADILAN,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau juga menyifatkan suara sumbang mendesak Datuk Seri Anwar berundur daripada perjuangan parti sebagai melampau, malah bertegas akan bersama-sama ketua pembangkang dan kepimpinan KEADILAN mengikis pembelot dalam parti.

“Kalau Datuk Seri suruh perang, kita akan turun. Saya merayu pada Datuk Seri dan lain-lain, setelah selesai pemilihan kepimpinan, kena bertegas membersihkan ‘Trojan Horse’ dalam parti,” tegas beliau serta disambut laungan reformasi anggota-anggota yang hadir.

Tambahnya lagi, beliau percaya KEADILAN akan menjadi parti yang lebih kuat setelah selesai pemilihan nanti.

Beliau turut membidas usaha keji bekas Ketua KEADILAN Wilayah Persekutuan, Zaid Ibrahim yang mahu memporak-perandakan kepimpinan dan parti setelah diberi kepercayaan menggalas tugas memperjuang demokrasi tulen negara.

“Ini umpama orang yang tidak ada rumah, kita jemput masuk, beri kemewahan dan sebagainya tetapi setelah setahun dia kata, “Boleh tak anda keluar dan biar saya yang duduk di rumah ini?” kata beliau disambut ketawa hadiri dalam dewan.

Zaid Ibrahim baru-baru ini mengumumkan keluar KEADILAN berkuat kuasa 16 Disember, terus menyerang kepimpinan KEADILAN termasuk Datuk Seri Anwar dan Azmin sebagai punca kepincangan dalam parti selain menyuruh mereka berundur daripada perjuangan parti.

Zaid turut berhasrat meneruskan usaha politik dengan menubuhkan parti baru dan mengakui bahawa parti tersebut akan memperjuangkan keadilan sebenar di negara ini.

Dalam ucapan Azmin yang berkobar-kobar di hadapan lebih 2,000 anggota KEADILAN yang hadir di auditorium malam tadi, Azmin percaya kebangkitan rakyat menuntut keadilan tidak dapat dikekang mana-mana pihak justeru akan terus menyemarakkan semangat reformasi parti itu.

“Reformasi mesti diperkukuhkan sampai ke Putrajaya untuk mengangkat martabat keadilan. Rosmah, Putrajaya bukan milik kamu!” laung beliau.

Sementara itu, Tan Sri Khalid dalam ucapannya menekankan semangat setia kawan yang perlu digalas dalam perjuangan KEADILAN.

Beliau berkata, KEADILAN harus mementingkan semangat berpasukan mengorak langkah menuntut keadilan dan bukan mengangkat kepentingan individu.

Justeru, Khalid menolak ungkapan politik tidak ada musuh dan kawan yang kekal selain menyifatkan ia bukan amalan KEADILAN.

“Mesti ada prinsip mengasingkan diri daripada perjuangan Umno. Demokrasi bukan murah dan hasilnya pun mahal,” katanya.

Turut hadir ke program Rapat Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemakan ‘Anwar Ibrahim Pengemudi Zaman’ malam tadi, Exco-Exco politik negeri Selangor dan calon kepimpinan KEADILAN bersama anggota-anggota.

No comments

Powered by Blogger.