Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan, bersidang untuk tingkatkan perkhidmatan kepada rakyat

SHAH ALAM, 29 Nov – Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri-negeri Paktan Rakyat kali ke-2 berlangsung hari ini di Kompleks Kediaman Pegawai Kerajaan di Seksyen 7 di sini, yang menyaksikan tiga Menteri Besar dan Ketua Menteri berazam untuk mengukuhkah kerjasama bagi meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.

Persidangan sehari ini dihadiri Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Exco-exco Kerajaan Negeri dan wakil-wakil anak syarikat kerajaan negeri.

Dalam ucapan perasmian, Abdul Khalid berkata, persidangan ini adalah medium penting untuk berkongsi pandangan serta pengalaman dalam menggalas amanah rakyat berdasarkan prinsip ketelusan, pertanggungjawaban dan urus tadbir kerajaan yang baik.

Katanya, persidangan ini juga ruang penting untuk membolehkan persoalan dasar, strategi dan program yang telah dilaksanakan di setiap negeri terlibat dikongsi sebagai panduan atau pengajaran kepada semua pihak.

Abdul Khalid berkata, negeri-negeri Pakatan Rakyat (Pakatan) menghadapi pelbagai cabaran selama hampir tiga tahun memerintah tetapi berjaya mematahkan cubaan yang bertujuan menggagalkan usaha-usaha melakukan reformasi pentadbiran negeri.

Beliau berharap persidangan kali ini dijadikan landasan untuk berkongsi pengalaman bagi meningkatkan tahap perkhidmatan, sekali gus memperkukuhkan pentadbiran sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Lim Guan Eng pula berkata, pemimpin Pakatan perlu mengubah tanggapan bahawa mereka ini bukan lagi pembangkang tetapi pemerintah negeri dan perlu melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dengan sebaik mungkin.

Katanya, pemimpin negeri Pakatan tidak perlu birokratik atau terikat dengan protokol keranan pemimpin Pakatan perlu kekalkan budaya pemimpin berjiwa rakyat.

“Kita perlu kekalkan nilai-nilai mesra rakyat dan mudah didampingi yang kita amalkan sebelum menjadi kerajaan pemerintah, paling penting kita tahu bezakan yang mana lawan dan kawan,” katanya.

Lim juga menasihatkan kerajaan Pakatan Rakyat supaya mendapatkan sokongan kakitangan awam dan tidak mengabaikan mereka menjadi nadi pentadbiran sesebuah negeri.

Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat pula menasihatkan negeri-negeri Pakatan Rakyat terus bersatu menentang serangan arus media perdana yang terus memutar belit fakta bagi mengelirukan rakyat.

Beliau berkata, semua masalah yang timbul di negara ini adalah mainan Umno yang sengaja menimbulkan suasana yang tidak senag rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, Pakatan tidak boleh terlalu yakin untuk terus berkuasa dan jadikan pilihan raya umum 2004 sebagai pengajaran apabila PAS tewas di Terengganu dan menang tipis di Kelantan.

Bagaimanapun, beliau berkata, rakyat Kedah semakin selesa dengan pentadbiran Pakatan di Kedah yang mengamalkan ketelusan dan berjaya meningkatkan hasil negeri menerusi pembalakan.

Ketua umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang akan menyampaikan ucapan penggulungan pada malam ini

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR

No comments

Powered by Blogger.