Sandiwara Akta Gaji Minima

Rani Rasiah


Pada Mei 1, 1996, Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML), salah satu pergerakan di bawah payung gabungan Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) telah melancarkan kempen gaji bulanan untuk pekerja ladang.

Pekerja ladang dibayar gaji harian yang tertakluk kepada harga pasaran, keadaan cuaca dan hasil tanaman. Kesemua faktor yang tersenarai di atas adalah berada di luar kawalan pekerja, justeru itu pekerja ladang mudah dieksploitasi oleh majikan. Kempen 'Gaji Bulanan Pekerja Ladang' menuntut rombakan sistem gaji sedia ada yang merupakan ciri ekonomi peninggalan zaman penjajah.

Sokongan orang awam terhadap tuntutan gaji bulanan RM750 semakin meningkat apabila kempen itu berjaya menonjolkan jurang perbezaan yang curam di antara kapitalis tuan ladang yang tamak berbanding dengan 300,000 pekerja ladang yang miskin dan terpinggir. Selain itu, kempen tersebut mendedahkan bahawa pemegang terbesar saham dalam setiap syarikat ladang utama ialah kerajaan sendiri melalui perbadanan awamnya seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional (ASN).

Pada kemuncak kempen ini (April 19, 1999), suatu demonstrasi melibatkan lebih 2,000 orang pekerja ladang telah diadakan di luar bangunan Parlimen. Bantahan tersebut tidak disenangi kerajaan dan pihak-pihak berkaitan. Pada Jun 1999, MIC mengumumkan bahawa ia akan menyerahkan laporan untuk menuntut gaji bulanan sebanyak RM900-RM1,000 kepada kabinet.

Pada Mac 2000, Menteri Sumber Manusia masa itu Fong Chan Onn mengumumkan bahawa kerajaan akan meminta para pakar dari Universiti Malaya (UM) membuat kajian feasibiliti untuk sektor perladangan dari segi gaji bulanan. Kajian tersebut disiapkan pada tahun yang sama, namun hasilnya tidak diumumkan malah dikategorikan sebagai sulit dan rahsia.

Namun begitu, JSML berjaya memperolehi dokumen sulit tersebut lalu membongkarkannya kepada media. Malangnya semua media yang di bawah kawalan kerajaan tidak berani membuat liputan mengenai dapatan pemantauan UM tersebut yang menyatakan sokongan terhadap gaji bulanan.

Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa kabinet merestui sistem gaji bulanan untuk sektor ladang. Pada Februari 7, 2001, yakni sehari sebelum satu demonstrasi besar-besaran dijadual dijalankan di luar Mahkamah Perindustrian, Fong mengumumkan keputusan kerajaan untuk menawarkan gaji bulanan minima sebanyak … RM325!

Ia merupakan kesudahan anti-klimaks kepada satu sandiwara yang dipentaskan oleh kerajaan tetapi peristiwa yang menyusul lebih menyinggung hati. Didapati bahawa RM325 itu sebenarnya gaji minima yang dijamin hanya kepada para pekerja yang pada hakikatnya menerima gaji kurang dari RM325.

Itupun dengan syarat mereka hadir kerja setiap hari tanpa mengira keadaan cuaca. Pekerja ladang amat terkilan dengan syarat yang langsung tidak masuk akal kerana sekiranya mereka bekerja setiap hari (dengan cuaca mengizinkan), sudah pasti gaji mereka melebihi jumlah tersebut. Amaun RM325 itu bukannya 'gaji bulanan' sebetul-betulnya tetapi satu penyelewengan. Sehingga sekarang, gaji pekerja ladang masih merupakan gaji harian, dan merekalah yang dipaksa supaya menanggung segala risiko dalam industri perladangan.

Ini bukannya julung kali kaum pekerja Malaysia ditipu sebegitu oleh kerajaan.

Gaji hanya cukup untuk hidup seadanya

Pada tahun 1998, dalam satu dialog mengenai gaji minima dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang pada masa itu menuntut gaji minima RM900 untuk pekerja perindustrian, Dr Mahathir bersetuju bahawa gaji minima RM1,200 sesuai dilberi untuk isi rumah yang mempunyai lima orang ahli keluarga. Namun ia tinggal janji kosong dan sepertimana yang dijangka, cadangan tersebut kemudiannya lesap dengan begitu sahaja.

Berlatarbelakangkan perkembangan yang diceritakan di atas, apakah harapan bahawa gaji minima akan menjadi kenyataan?

Sejak awal tahun ini, isu gaji minima berupa isu hangat dalam media. Menteri Sumber Manusia, Dr S. Subramaniam pula telah mengumumkan bahawa dasar gaji minima akan dilaksanakan menjelang pertengahan tahun 2011. Pada bulan lepas, Subramaniam megumumkan bahawa kabinet telah meluluskan dasar ini untuk dilaksanakan melalui Majlis Perundingan Gaji Nasional.

Nampaknya kerajaan bersungguh-sungguh memujuk pihak majikan supaya menyokong Akta Gaji Minima tatkala kerajaan mengumumkan statistik dan menawarkan hujah-hujah yang sebelum ini lazimnya disyorkan oleh kesatuan sekerja dan NGO saja. Contohnya pada bulan Ogos 2010, Kementerian Sumber Manusia memberitahu bahawa Kajian Pendapatan Pekerja tahun lepas mendapati 34 peratus tenaga kerja di negara kita menerima upah kurang daripada RM700 sebulan, iaitu di bawah garis kemiskinan rasmi RM720. Yang 37 peratus lagi menerima upah sebanyak RM700-RM1,500 sebulan.

Lalu Menteri Sumber Manusia, Dr Subramaniam mengaku bahawa "gaji mesti sepadan dengan peningkatan dalam harga barangan dan taraf hidup yang lebih tinggi".

Perkembangan-perkembangan ini sekali lagi membuahkan harapan menggunung. Akan tetapi melihat kepada sejarah prestasi kerajaan yang teruk, keikhlasan pihak pemerintah adalah diragui. Semuanya kelihatan seperti ulang-tayang semula skrip lama dengan hanya sedikit penukaran barisan pelakon.

Kredibiliti kerajaan terhakis lagi apabila usaha perundingannya dengan ketua-ketua korperat tidak ke mana.

Mengimbas kembali, kerajaan persekutuan telah berjanji akan meningkatan gaji pengawal keselamatan --yang sepatutnya dikuatkuasakan sebelum Julai 2010. Meskipun begitu, cadangan tersebut ditolak oleh pertubuhan majikan dan Pertubuhan Perkhidmatan Keselamatan Malaysia (Security Services Association of Malaysia). Apa pula respons kerajaan? Mereka berundur secara diam-diam atas alasan isu itu perlu dikaji semula dengan lebih mendalam!

Khalayak awam tahu siapa sebenarnya menjadi bos. Sektor swastalah yang akan menjadi pemandu utama ekonomi, sepertimana diumumkan Perdana Menteri di dalam Rancangan Malaysia Ke-10. Kurang campurtangan kerajaan, lebih mudah menjalankan perniagaan, syurga untuk pelabur dan korperat -- nampaknya mantra neo-liberal kini telah menular masuk ke dalam perancangan ekonomi negara terbaru yang dibentangkan oleh Najib Razak.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dengan terang-terang menunjukkan bahawa mereka tidak akan mengalah walau seinci pun. Wakilnya dipetik sebagai berkata ".. jika dunia ini kiamat dan kita lahir semula, MEF masih tetap menentang dengan kuat wujudnya gaji minima."

Bakal menjadi isu pilihan raya

Nampaknya menafikan gaji yang wajar kepada kaum pekerja adalah isu prinsip bagi MEF, sehingga mereka enggan mengambil endah preskipsi kapitalis masakini, bahawa gaji yang lebih tinggi akan menaikkan kuasa beli dan lantaran itu, majikan jugalah yang akan mengaut keuntungan.

Sesungguhnya realiti ekonomi global hari ini telah berjaya memujuk negara-negara yang bergantung banyak kepada eksport untuk membuat perubahan fundamental kepada polisi dengan memberi penekanan lebih kepada permintaan domestik atau dalaman. Contohnya di negara China, gaji pekerja telah dinaikkan supaya permintaan domestik lebih merangsangkan dan pada masa yang sama menangani kemungkinan penurunan dalam eksport.

Dalam keadaan seperti ini, bagaimanakah kita harus memandang dolak-dalih kerajaan yang mengundang teka-teki dan ketidakpastian mengenai isu gaji minima? Isu ini akan terus meleret dan jika pilihan raya umum diadakan, ia akan diperalatkan untuk memancing undi. Selepas itu, ia bakal dilupakan sekali lagi.

Walaubagaimanapun, timbul harapan bahawa kali ini Akta Gaji Minima mungkin akan diluluskan ekoran desakan kuat akar umbi. Golongan pemikir arus perdana juga menyokong perlaksanaannya atas sebab 90 peratus negara di dunia sudahpun ada gaji minima; Malaysia masih terkecuali.

Selain itu, visi MEB (Model Ekonomi Baru) negara menggambarkan bahawa kita harus beralih dari ekonomi berpendapatan sederhana kepada ekonomi berpendapatan tinggi. Cita-cita ini tampak di luar kemampuan kita memandangkan golongan pekerja masih berpendapatan rendah dan hidup di bawah paras kemiskinan.

Sesungguhnya, Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) telah menegur MEB dan mengingatkan bahawa 40% isi rumah terpaksa menampung perbelanjaan hidup berasaskan pendapatan keluarga di bawah RM1,500. Keadaan ini sekiranya dibiarkan melarat pasti akan mengakibatkan ketidakstabilan sosial dan politik.

Selain ini, langkah-langkah liberalisasi yang diperkenalkan oleh kerajaan tahun ini dalam bentuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta penarikan balik subsidi akan menambahkan lagi tekanan hidup di kalangan sebahagian besar rakyat Malaysia. Langkah-langkah tersebut serta pindaan undang-undang buruh yang akan mengancam jaminan kerja tidak dapat diterima oleh rakyat jelata. Nescaya itu, kerajaan BN terpaksalah berundur sedikit.

Kesimpulannya: Ada kemungkinan kerajaan akan menggubal Akta Gaji Minima.

Tetapi besar kemungkinan ia sekadar melepaskan batuk di tangga dan bukanlah satu akta gaji minima yang berkesan. Seperti dalam kes pekerja ladang, boleh jadi ia satu lagi penipuan dan malapetaka di mana gaji akan ditetapkan pada kadar yang tidak munasabah.

********************************

Rani Rasiah adalah seorang aktivis serta koordinator Jerit.

No comments

Powered by Blogger.