Anwar, masa lalu dan masa depan PKR

Oleh Haris Zalkapli

Kongres Parti Keadilan Rakyat yang baru berakhir menegaskan lagi hubungan parti dengan personaliti Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin berkarisma yang menyebabkan tertubuhnya parti ini sebagai Parti Keadilan Nasional selepas dipecat pada 1998.

Tindakan mengikat parti dengan Anwar ini menjadikan tokoh itu sebagai penentu hayat PKR. Dari satu sudut, tindakan mengaitkan Tuhan dengan kepimpinan Anwar boleh menguatkan semangat ahli dan penyokong tegar, tetapi pada masa sama juga mendedahkan parti kepada pandangan negatif orang ramai.

Walaupun seorang pemimpin pusat yang juga anak Anwar sendiri, Nurul Izzah Anwar menegaskan prinsip yang perlu diinstitusikan dan bukan personaliti, ini bukan realiti PKR.

Realiti PKR ialah pengkultusan pemimpin agungnya, dan wacana yang semakin kelihatan didasari satu perasaan benar keterlaluan yang boleh membunuh (fatal conceit).

Sejurus selepas 1998, hubungan Anwar dengan parti memberi kelebihan kepada parti. Sehingga beberapa tahun selepas itu, hubungan ini terbukti bermanfaat besar kepada PKN dan PKR.

Tetapi Anwar semakin tidak dikaitkan, disinonimkan atau didefinisikan dengan agenda-agenda perubahan ke arah kebaikan yang disebut-sebut sejak sebelum 1998 lagi.

Hujah menuntut PKR bergerak melepasi personaliti Anwar kepada prinsip dan nilai-nilai sebenarnya bukan hanya untuk meluaskan sokongan, tetapi juga akan menentukan survival PKR.

PKR yang diikat kemas dengan Anwar akan menjadikan Anwar sebagai penentu segalanya. Dan dalam keadaan Anwar dan orang yang rapat dengannya semakin kurang diyakini dan dilemparkan pelbagai kritikan, wajar sekali parti tidak terus meletakkan nasibnya pada seorang pemimpin.

http://www.politikpop.com/

No comments

Powered by Blogger.