Isu Padi Dan Adun Kena Pukul: RM35j habuan kroni?

Thursday, 25 November 2010 | Ruangan: Berita

SEKINCHAN,25 Nov – Lebih RM35 juta wang rakyat dikhuatiri menjadi ‘habuan’ kroni pemimpin Umno-BN setiap tahun apabila Kementerian Pertanian menswastakan Skim Penanaman Benih Padi (SPBP) di kawasan jelapang padi di Barat Laut negeri ini.

Skim lumayan itu diberi kepada sebuah syarikat yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan pemimpin Umno tempatan, sejak tahun lalu.

Pemilik syarikat berkenaan sering kelihatan memandu kereta mewah Brabus di sekitar Tanjong Karang, hanya satu musim selepas diberi kontrak lumayan itu.

Yang menjadi mangsa adalah kira-kira 9,300 petani yang bersawah dari Tanjong Karang hingga Sungai Besar. Antara lain, me-reka terpaksa membayar RM38.00 kepada syarikat itu untuk sekampit benih padi 20 kilogram berbanding RM28.00 ketika skim itu dikelolakan oleh Jabatan Pertanian.

Petani terbabit juga terpaksa menggunakan benih padi yang kurang berkualiti berbanding de-ngan apa yang dibekalkan oleh Jabatan Pertanian sebelum ini.
Akibatnya, mereka menanggung kerugian kerana dibeban de-ngan hasil ‘padi angin’ yang tidak bernilai.

Syarikat yang menerima kontrak lumayan itu dikatakan mempunyai kemampuan membekal sehingga 5,000 tan benih namun kini diberi hak membekalkan 17,000 tan benih padi kepada petani terbabit.

Ini tidak termasuk pemberian kontrak bekalan benih kepada Kejora Desa, yang juga dikaitkan dengan kepimpinan Pemuda Umno untuk melaksanakan SPBP di Kedah.

Tindakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk seri Noh Omar menambah subsidi benih daripada RM500 kepada RM1,035 setiap tan sebaik sahaja SPBP diswastakan tahun lalu, menguatkan dakwaan bahawa urus tadbir pertanian terpalit dengan kepentingan kroni dan pertimbangan politik.

“Pengswastaan” SPBP bermakna untuk 17,000 tan padi benih, Kementerian Pertanian ‘menyerahkan’ wang rakyat sebanyak RM17.595 juta semusim atau RM35.19 juta setahun kepada syarikat-syarikat terpilih.

Isu ini pernah dibahaskan di Dewan Negeri Selangor pada Mac dan Julai lalu. Namun bantahan kerajaan Selangor yang diajukan kepada Putrajaya tidak mendapat reaksi Kerajaan Persekutuan.

Noh, yang lazimnya bingkas memberi komen mengenai sebarang isu, membisu seribu bahasa mengenai pembaziran dana rakyat menerusi pengswastaan SPBP.

Siasatan Selangorkini mendapati petani penambahan mendadak subsidi RM500 kepada RM1,035 yang dianugerahkan kepada syarikat berkenaan lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan kepada petani.

Pihak tertentu tidak menolak kemungkinan “pengswastaan” skim benih padi adalah sebagai topeng semata-mata untuk menyalur dana Umno Selangor dalam cubaan untuk merampas kembali negeri ini pada pilihanraya umum akan datang.

Loji pemprosesan benih padi bernilai RM17 juta di Taliair 4, di Sungai Burong yang dirasmikan oleh Sultan Selangor pada 2006, hanya beroperasi di bawah Jabatan Pertanian sehingga awal tahun lalu sebelum SPBP diswastakan.

Adun Sekincan Ng Suee Lim berkata, ketika dikendalikan oleh Jabatan Pertanian, loji itu cukup berkesan dalam menghasilkan benih padi yang berkualiti kerana menggunakan kaedah pemerosesan berkualiti.

Tapi apabila kontrak pembekalan benih padi diserahkan kepada syarikat swasta, kualiti benih padi terjejas sehingga menghasilkan padi angin yang menyebabkan pemotongan gred begitu tinggi.

Ini menjejaskan hasil padi antara tiga hingga empat tan dan sekaligus merugikan petani.

Suee Lim menggesa kerajaan persekutuan memulangkan skim berkenaan kepada Jabatan Pertanian supaya manfaat subsidi dinikmati oleh petani, bukan dibolot oleh orang tengah yang menjadi kroni parti politik.

“Peruntukan yang besar untuk subsidi itu tak sampai kepada golongan sasaran kerana berlaku ketirisan atau kebocoran di pertengahan. Untuk menyediakan peruntukan kepada kroni, pelbagai subsidi lain pula ditarik. Akhirnya petani juga yang tertekan angkara kerakusan mengaut keuntungan atas angin,” tegas beliau.

Menurutnya orang Umno sendiri merungut mengenai pengswastaan SPBP yang menekan golongan petani.

“Saya (telah) ke sana atas undangan orang-orang Umno sendiri di kalangan petani dan saya masih ada simpan nama mereka. Orang Umno juga dah tak tahan dengan cara Ahli Parlimen mereka menekan petani-petani.

“Saya mahu Noh beri penjelasan kenapa skim ini perlu diswastakan sedangkan apa yang diusahakan oleh Jabatan Pertanian cukup baik dan berkesan sama ada dari segi kualiti benih mahupun harga,” katanya.

“Kita bawa berbincang dengan ikhlas, telus tanpa ada yang tesembunyi. Tak timbul soal siapa nak jadi hero atau nak cari publisiti kerana yang penting petani mesti diutamakan,” tegas beliau.

Setakat ini Noh belum menyahut tawaran Suee Lim untuk mengadakan perbincangan terbuka mengenai skim subisidi benih padi yang diswastakan itu.

No comments

Powered by Blogger.