"Krisis PKR hanya kocakan kecil" – Mahfuz

Oleh Muda Mohd Noor

PARLIMEN KUALA LUMPUR: Kemelut yang sedang berlaku dalam PKR hanyalah sebuah kocakan kecil yang sama sekali tidak menjejaskan Pakatan Rakyat (PR) menghadapi pilihanraya umum akan datang, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Kocakan kecil, mana-mana parti akan berlaku. Pergolakan ini dilakukan oleh orang yang sama, bukan membabitkan pergolakan yang besar.

"Ini krisis kumpulan yang kecil, bukan krisis kepercayaan rakyat kepada PKR dan Pakatan Rakyat," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan wartawan yang bertanya adakah krisis dalaman PKR akan menjejaskan Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Mahfuz yang juga Ahli Palimen Pokok Sena berkata, PAS menghadapi krisis sama ketika parti itu menyertai Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada tahun 1990.

Ketika itu, katanya, ramai ulama’-ulama’ besar PAS Kelantan membantah keputusan PAS bergabung dengan APU ciptaan Tengku Razaleigh Hamzah ketika itu.

"Pimpinan dan ahli PAS keluar parti dan menubuhkan parti Islah dan media melapurkannya secara besar-besaran.

Tetapi keputusan pilihan raya umum 1990, BN tidak pernah menang satu kerusi pun di
negeri Kelantan," katanya.

Mahfuz berkata, krisis dalaman PKR ini akan berakhir apabila kongres parti itu di Petaling Jaya berakhir Ahad ini.

No comments

Powered by Blogger.