Pengebumian negeri atas kematian Tun Dr Lim Chong Eu

PULAU PINANG, 24 Nov – Kerajaan negeri Pulau Pinang akan memberikan penghormatan pengebumian negeri kepada bekas ketua menteri Tun Dr Lim Chong Eu, yang meninggal dunia di rumahnya di Tanjong Bungah pada jam 9.07 malam tadi.

Mendiang dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang selama hampir sebulan akibat serangan angin ahmar dan tidak sedarkan diri hingga menghembuskan nafas terakhirnya.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata beliau akan membuat satu pengumuman rasmi mengenai kematian bekas ketua menteri itu hari ini.

Lim, yang berada di Hong Kong, semalam dalam satu kenyataan berkata beliau berasa sedih dengan kehilangan Dr Lim.

“Saya dimaklumkan mengenai kematian Tun (Dr Lim Chong Eu) oleh anak lelakinya Lim Chien Cheng pada pukul 9.34 malam dan saya, bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, mengucapkan takziah kepada Lim Chien Cheng dan keluarganya.

“Saya akan pulang dari Hong Kong ke Pulau Pinang esok (hari ini) dan akan membuat pengumuman rasmi,” katanya kepada Bernama.

Dilahirkan dan mendapat pendidikan awal di Penang Free School di Pulau Pinang sebelum melanjutkan pelajarannya di Universiti Edinburgh di Scotland dan memperolehi ijazah perubatan.

Mendiang juga pernah menjadi ahli MCA sebelum membentuk parti Parti Demokratik Bersatu selepas berselisihan faham dengan Umno dan kemudiannya menjadi salah seorang pengasas parti Gerakan pada 24 Mac 1968 lalu.

Sementara itu, anak sulungnya Lim Chien Aun berkata Dr Lim meninggal dunia di rumahnya di Tanjong Bungah di Georgetown setelah dibawa balik dari hospital itu pada jam 7 malam semalam.

“Beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga di rumahnya,” katanya kepada pemberita.

Ketua menteri kedua Pulau Pinang itu dilaporkan berada dalam keadaan koma sejak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebulan lalu.

Beliau meninggalkan seorang isteri Toh Puan Goh Sing Yeng, 85, dan empat orang anak.

Mendiang Dr Lim menjadi ketua menteri Pulau Pinang yang kedua selama 21 tahun mulai Mei 1969 hingga Oktober 1990 dan menerajui parti Gerakan selama sembilan tahun mulai 1971.

No comments

Powered by Blogger.