‘Bail-out’ konsesi air selamatkan ETP PM Najib?

SHAH ALAM, 19 Nov - Kerajaan Persekutuan besar kemungkinan akan menjamin keluar atau ‘bail-out’ empat syarikat konsesi air di negeri Selangor bagi memastikan pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi atau ETP, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak terjejas berikutan kegagalan syarikat berkenaan membayar hutang yang ditanggung.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefli Ahmad berpendapat, keadaan itu mungkin berlaku sekiranya kebuntuan penstrukturan semula air di Selangor tidak dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat, sekali gus memberikan impak negatif di kalangan kaca mata pelabur asing dan tempatan.

Dr Zul menambah, sekiranya Kerajaan Persekutuan tidak dapat menarik pelabur-pelabur ke dalam pasaran bon tempatan dalam jangka masa singkat, maka tekanan hebat akan dikenakan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) selain melaksanakan jaminan keluar sebagai jalan terakhir.

“Bon yang dipegang oleh pemegang bon, mereka akan gantikan dengan bon tiga A, yang kononnya milik kerajaan. Ia adalah bon kerajaan. Bon kerajaan adalah lebih baik dari segi bayaran jaminan balik daripada bon Syabas. Jadi dalam kata lain, ia adalah jaminan keluar (bail-out),” jelas beliau ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan The Malaysian Insider, penganalisis menjangkakan ETP akan terjejas apabila bon penstrukturan air Selangor sampai ke ke peringkat matang, justeru konsesi air akan menanggung hutang yang lebih besar.

Empat pemegang konsesi utama dalam industri air di Selangor adalah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) and Konsortium ABASS.

Menurut laporan itu lagi, Syabas hanya mampu bertahan selama enam bulan menerusi akaun simpanan sedia ada, justeru penanguhan akan memberi implikasi besar kepada hutang yang akan ditanggung sekiranya perkara tersebut tidak dapat diselesaikan.

Dr Dzul berkata, sekiranya pemegang konsesi air tidak dapat melunaskan bayaran kepada pemegang bon, maka akan berlaku ingkaran bayaran selanjutnya.

Jalan terbaik menurut Dr Dzul, adalah dengan memberi hak pengendalian air kepada Kerajaan Pakatan Selangor untuk mengembalikan semula keyakinan pemegang bon berikutan jaminan aset kerajaan negeri yang jauh lebih baik.

“Kalau Selangor diberikan hak untuk mengurus air, diambil daripada Syabas dan diberikan kepada kita, saya yakin ia meninggalkan kesan positif kepada pemegang saham.

“Kerajaan Selangor lebih berkemampuan dan ratingnya tentunya lebih baik daripada syarikat-syarikat swasta kerana kita adalah kerajaan. Kita ada sumber dan simpanan yang besar, kita punya aset,” kata beliau lagi.

Dr Zul menjangkakan, tidak ramai pelabur bersedia untuk membeli bon yang akan diterbitkan pihak swasta apabila proses memacu projek ETP bermula, berikutan risiko tidak dibayar seperti dalam urusan air Selangor.

No comments

Powered by Blogger.