Hala tuju Umno kepada pengIslaman dan pengAraban

Written by Azmi Anuar


Surat dari seorang pembaca yang terbit di akhbar theSun (Nov 12, 2010), memberikan pandangannya tentang apa yang sedang berlaku dalam parti Umno pada masa ini dan mungkin merupakan tanggapan ramai yang lain juga berhubung perkembangan parti tersebut.

Penulis surat menyatakan terdapat satu proses pengIslaman yang radikal dan pengAraban yang terserlah sedang mengubah rupa bentuk parti itu. Dia memberikan beberapa contoh perkataan Arab yang telah digunakan ketika perhimpunan agung Umno berlangsung pada 24 Oktober 2010. Kenapalah agaknya apa yang terdapat dalam kosa kata bahasa Malaysia yang boleh digunakan dengan mudah tanpa salah faham digantikan dengan istilah-istilah bahasa Arab?

Bukan semua yang akan faham bahasa Arab kerana bahasa kebangsaan, lingua franca para hadirin di perhimpunan tersebut, ialah bahasa Malaysia.

Dia juga menyentuh tentang kenyataan Ketua Puteri Umno Johor Baru yang menyalahkan iklan tuala wanita sebagai penyebab gejala sosial di negara ini. Seterusnya gesaan menubuhkan majlis ulama menambah kegusaran tentang hala tuju parti Umno pada masa hadapan. Para perwakilan tidak belajar dari sejarah bahawa bahagian ulama Umno pada satu ketika dahulu di tahun-tahun 1940an telah bertentangan pendapat dengan ahli parti yang lain sehingga akhirnya menubuhkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Itulah di antara tanda-tanda perubahan dalam rupa bentuk Umno yang sepatutnya kekal sebagai sebuah parti Melayu nasionalis yang sekular. Penulis itu memberi hujah bahawa kesilapan paling besar Tun Dr Mahathir Mohamad ialah membawa masuk Anwar Ibrahim ke dalam Umno. Sejak itulah proses pengIslaman dan pengAraban mula bertapak dan berkembang sehingga ke hari ini.

Istilah-istilah Arab yang sering digunapakai ingin menonjolkan kepada khalayak umum bahawa parti Umno merupakan sebuah parti Islam yang benar-benar Islam, mengikut syariah Islam dan menegakkan syiar Islam. Tempias daripada perubahan ini secara tidak langsung dirasakan juga oleh rakyat Malaysia yang lain.

Tiada 'riba' tapi apa beza

Sedikit demi sedikit, proses pengIslaman negara yang berlandaskan versi Umno dilaksanakan. Ramai menjadi lebih Arab daripada orang Arab sendiri. Pada permulaannya, mungkin golongan pseudo Arab ini diketawakan dan tidak diberi perhatian yang serius tetapi lama kelamaan, pengaruh golongan ini bertambah dan mereka memegang tampuk kuasa yang lebih besar.

Apabila kuasa sudah di dalam genggaman, dengan mudah pula segala agenda diteruskan. Pada suatu ketika penganut agama Islam memang tidak lantang bersuara menyoal tindak tanduk para ulama kerana pengetahuan agama di kalangan orang ramai masih cetek. Tetapi dengan kemudahan pelajaran serta pendedahan dan pengalaman yang lebih meluas, ternyata ada pihak yang mula berfikir sama ada semua yang dilakukan benar-benar berlandaskan ajaran Islam yang sebenarnya.

Atau semua yang dilaung-laungkan, mengikut ajaran Islam itu hanya kata-kata manis di mulut sahaja. Memang banyak kegiatan yang dijalankan dalam proses pembangunan negara cuba menerapkan nilai-nilai Islam seperti dalam bidang sosio-ekonomi yang merangkumi industri perbankan dan insurans. Tetapi cuba kita perhatikan sejauh mana keberkesanan usaha-usaha ini setelah negara melalui pelbagai krisis ekonomi dan kepimpinan.

Pada hari ini bank-bank Islam dan bank-bank lain yang mempunyai anak syarikat yang menjalankan aktiviti perbankan mengikut lunas-lunas Islam di Malaysia masih belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Pada peringkat yang paling asaspun, misalnya perkhidmatan pelanggan, layanan dan kecekapan menangani isu-isu berkaitan seseorang pelanggan tidaklah lebih cekap atau lebih meyakinkan jika dibandingkan dengan apa yang boleh didapati daripada bank-bank konvensioal.

Bank-bank Islam juga tidak terkecuali menghadapi kes-kes penyelewengan dan pecah amanah. Kakitangan institusi Islam mungkin memulakan kerja seharian dengan doa yang tulus ikhlas, meminta petunjuk dan hidayah menjalankan tugas dengan sempurna tetapi ada juga di kalangan mereka yang tidak benar-benar menghayati maksud dan intipati apa yang didoakan.

Menggunakan nama Islam tidak menjamin sepenuhnya keselamatan dan penyelenggaraan kewangan yang sempurna. Acap kali pula terdengar rungutan tentang kadar keuntungan yang terlalu tinggi diambil oleh bank-bank Islam berbanding faedah yang dikenakan oleh bank-bank konvensional dalam sesuatu urusniaga. Walhal, konsep untung rugi bersama dalam urusniaga mengikut lunas-lunas Islam semestinya dan sepatutnya lebih memudahkan dan tidak membebankan berbanding konsep konvensional yang mengamalkan riba.

Apa yang berlaku, pihak bank masih cuba mengaut keuntungan berlipat kali ganda daripada para pelanggannya, dan tidaklah ada apa-apa perbezaan dengan bank-bank konvensional. Kalau boleh, tidak ada siapapun yang mahu berurusan dengan bank, sama ada yang Islam atau tidak kerana semua hanya mementingkan pihak bank.

Orang ramai berharap sangat kewujudan bank-bank Islam boleh mengubah persepsi pelanggan tentang bank-bank yang amat gemar mengambil kesempatan terhadap mereka. Malangnya bank-bank Islam juga dalam satu acuan, cuma berubah pada nama sahaja.

Pengaruh golongan ulama

Lihat pula peranan ulama di Malaysia sekarang. Mereka memang mempunyai pengaruh yang besar kerana fatwa-fatwa yang dikeluarkan dari semasa ke semasa memberi kesan kepada penduduk beragama Islam dan bukan Islam. Senarai perkara-perkara yang diharamkan untuk penganut agama Islam di Malaysia semakin panjang berjela dan jika benar-benar hendak dilaksanakan memerlukan satu jabatan penguatkuasa yang besar jumlahnya.

Contoh paling mudah ialah pengharaman meminum arak. Hakikat bahawa meminum arak adalah haram bagi orang Islam memang sudah dipelajari dan sebati dengan diri setiap penganutnya sejak kecil. Tetapi entah mana silapnya, ada juga yang beragama Islam yang mahu meneguknya.

Apabila didapati bersalah, hakim di mahkamah syariah cuba menjatuhkan hukuman ringan yang lebih menitikberatkan pengajaran kepada pesalah. Hukuman ringan itu diharapkan dapat memberi keinsafan kepada pesalah supaya tidak mengulangi kesalahannya. Apa yang benar-benar berlaku pula ialah kadang-kadang layanan yang lebih lembut ini tidak diberi kepada semua.

Ingatkah lagi kes Kartika Sari yang dihukum rotan kerana meminum arak pada tahun 2009? Kenapa hukuman yang sama tidak dijatuhkan dalam banyak lagi kes-kes seumpamanya. Kenapa pula masih kedengaran khabar-khabar angin atau mungkin satu kenyataan hidup yang hendak dilupakan, bahawa ramai penganut agama Islam dari golongan atasan dan berpengaruh juga minum arak dan mereka tidak ditangkap atau dihukum. Atau sengaja tidak dtangkap atau dihukum. Memang begitulah pelaksanaan hukum-hukum Islam di Malaysia.

Sekali lagi apa yang berlaku di Indonesia baru-baru ini memberi gambaran yang lebih positif tentang agama Islam di negara jiran kita apabila dibandingkan dengan keadaan di Malaysia. Ketika Presiden Obama dan isterinya melawat Masjid Istiqlal di Jakarta, imam besar masjid memberi penerangan kepada pasangan tersebut tentang tempat letak kereta masjid yang digunakan oleh para pengunjung gereja yang berhampiran ketika perayaan Krismas kerana tempat letak kereta gereja tersebut tidak mencukupi.

Pernahkah terdengar apa-apa berita tentang perkara yang sama berlaku di Malaysia? Kemungkinannya terlalu tipis kerana hendak mencari gereja yang berhampiran masjidpun adalah amat sukar.

Obama mengakhiri ucapannya di Universitas Indonesia dengan ucapan terima kasih dan assalamualaikum. Kalau di Malaysia, adakah mana-mana kumpulan yang akan memprotes?

No comments

Powered by Blogger.