Ke Makkah sudah tetapi kenapa galak judi, hab hiburan maksiat?

***
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Doa di Mudzalifah

"Ya Allah, ya Tuhan! Sebagaimana Engkau himpunkan kami dan Engkau perlihatkan kami untuk mengingati dan memuji-muji kebesaran Engkau sepertimana yang Engkau tunjukkan kepada kami.

“Ampunilah kami serta kasihkanlah kepada kami sebagaimana yang telah Engkau janjikan kepada kami di dalam kitab Engkau al-Quran (apabila kamu telah selesai menunaikan rukun haji kamu, iaitu berwukuf di Padang Arafah maka hendaklah kamu mengingati Allah banyak-banyak dengan menyebut-nyebut-Nya di al-Masy’ar al-Haram (Muzdalifah) sebagaimana yang telah diberi petunjuk kepada kamu sesungguhnya kamu sebelum mendapat hidayat petunjuk daripada Allah adalah di dalam keadaan sesat yang amat nyata.

“Setelah kamu selesai berzikir di sini turunlah kamu ke Mina seperti yang dilakukan oleh semua manusia dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Allah, bahawasanya Allah itu Amat Mengampuni dan Amat Mengasihani.

“Ya Allah, kami memohon kepada-Mu Tuhan Yang Maha Pengampun dan Maha Belas Kasihan, terimalah segala permintaan kami, wahai Tuhan yang menerima segala permintaan mereka semasa dalam kecemasan. Wahai Tuhan, apabila menghendaki sesuatu berlakulah perkara itu dengan tidak dapat dirintangi lagi.

“Ya Allah, Ya Tuhanku, kami ini datang beramai-ramai untuk mendapatkan keampunan daripada Engkau di atas segala dosa kami. Janganlah Engkau kecewakan kami, berilah kepada kami seperti yang Engkau berikan kepada hamba-hamba Engkau yang salih. Janganlah Engkau palingkan kami daripada tempat suci ini, melainkan kami mendapat kemenangan dan tidak kecewa, tidak menyesal dan tidak pula kami daripada golongan orang yang sesat dan menyesatkan. Wahai Tuhan Yang Amat Mengasihani.

“Ya Allah, Ya Tuhan! Berilah petunjuk dan taufik kepada kami. Peliharalah kami daripada terjerumus dalam lembah kejahilan dan kemusnahan, selamatkan kami daripada segala penyakit jiwa, jadikanlah kami daripada golongan orang yang menjaukan diri daripada runtunan hawa nafsu yang buas kerana itulah sejahat-jahat musuh yang berjangkit ya Allah, jadikan kami daripada golongan mereka yang sentiasa menghadapi Engkau tidak kepada yang lain. Bawalah kami ke jalan Engkau, kasihan belaslah, ketika kami bertadharuk bersemadi terhadap Engkau.

“Ya Allah, perbetulkan kami kiranya kami telah menyeleweng, perkuatkanlah kami dalam pendirian kami, hidupkan kami dalam iman dan taat kepada Engkau, matikan kami di dalam Islam, daripada golongan mereka yang bertaubat, begitu juga semasa soal di akhirat. Jadikanlah kami daripada mereka yang yang menerima suratan amalannya dengan tangan kanan, jadikan kami daripada golongan mereka yang beroleh keamanan pada hari kiamat, berilah kesukaan kepada kami, ya Allah dengan dapat memandang wajah Engkau Yang Mulia dengan berkat rahmat Engkau wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani.”
***

Labbayk, Allahumma, Labbayk, Labbayk, La Shareeka laka, Labbayk Innal-hamda wan n’mata laka wal-mulk, La shareekala, demikianlah jemaah haji (hujjaj) akan bertalbiyah penuh kesyahduan ketika menunaikan manasik haji.

Talbiyah ini bermaksud: “Hambu-Mu datang menyahut panggilan Engkau, ya Allah, Tuhan yang tidak ada sekutu bagi Engkau, hamba-Mu datang menyahut panggilan Engkau. Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan, adalah kepunyaan Engkau, tidak ada sekutu bagi Engkau.”

Bersyukur kita ke hadrat Illahi, kini kira-kira 2.5 juta jemaah termasuk lebih 26,000 orang dari tanah air kita dalam peringkat kemuncak melaksanakan ibadah haji; kita doakan mereka mendapat haji mabrur yang balasannya tiada lain melainkan syurga. Namun perlu diingati, seperti Rukun Islam yang lain, ibadah haji perlu dilakukan secara berilmu dan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Allah adalah kemuncak penyerahan seperti diucapkan dalam talbiyah, segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah hak-Nya.

Pemikir Islam terkenal dari Iran, Ali Shariati dalam bukunya ‘The Hajj’ atau Haji, ada menyatakan bahawa sungguhpun ramai orang menunaikan haji, kebanyakannya hanya membawa tubuh masing-masing, hanya sejumlah kecil saja yang membawa fikiran dan berupaya menyelami falsafah ibadah itu. Apabila tubuh saja dibawa, dibimbangi semangat kepatuhan kepada Ilahi hadir di Tanah Suci saja, tetapi apabila kembali ke tanah air masing-masing, seseorang jemaah itu kembali kepada perangai lama dan buruknya.

Sebagai contoh, ketika di Tanah Suci seorang jemaah itu patuh kepada perintah Ilahi dalam penutupan aurat tetapi kenapa di tanah air kembali mendedahkannya? Demikian juga di sana mereka begitu patuh kepada rukun dan wajib haji termasuk pantang larang ihram tetapi selepas kembali kenapa perilaku buruk seperti mengamalkan politik wang (rasuah), menzalimi sesama insan, mengamalkan kronisme dan sebagainya terus menjadi amalan.

Apakah layak seorang insan yang sudah bergelar haji dan hajah meneruskan kelakukan buruk ini? Lebih menghairankan, mengapa insan termasuk pemimpin yang sudah menunaikan haji tergamak mengusulkan perkara yang jelas haramnya seperti aneka judi, hab hiburan maksiat dan menggalakkan lagi percambahan premis menjual minuman keras? Demikianlah, mengapa haji sudah, tetapi perangai tidak berubah?

Sebelum berangkat menunaikan haji, hampir keseluruhan jemaah telah mengikuti kursus haji termasuk membaca buku-buku panduan haji. Pendeknya jemah yakin buku panduan (manual) itu akan memudahkan pekerjaan mereka dalam menunaikan manasik haji.

Jika ibadat haji pun perlukan panduan, kehidupan kita di dunia ini juga perlukan panduan. Kitab panduan itu adalah tidak lain daripada al-Quran tetapi berapa ramai di kalangan umat yang benar-benar menjadikan al-Quran panduan kehidupan bagi meraih kejayaan dunia dan akhirat seperti yang dipohon jemaah haji ketika tawaf, ‘Rabbana atina fid-dunya hasanatan wa fil 'akhirati hasanatan waqina 'adhaban-nar’?

Apakah kita masih meneruskan amalan atau cara hidup berdasarkan kehendak kita atau kehendak al-Quran? Mengapa kita menerima pakai sebahagian perintah Allah SWT tetapi menolak sebahagian yang lain. Misalnya kita menerima perintah puasa melalui Ayat 183 Surah Al-Baqarah tetapi kita tidak berhukum berdasarkan perintah-Nya melalui Ayat 178 surah sama yang menyebut hukum qisas?

Demikianlah dalam kehidupan, seseorang itu perlu sentiasa bermuhasabah diri, mengkoreksi perkara-perkara buruk yang wujud dalam dirinya, seterusnya melemparnya jauh-jauh sepertimana dilakukan jemaah haji tatkala melontar di jamrah. Tetapi perkara ini tidak semudah ditulis atau diucapkan.

Di sinilah diperlukan pengorbanan. Tiada pengorbanan tiada kejayaan. Ini sesuai dengan Hari Raya Haji yang juga dikenali Hari Raya Korban.

Allahu Akbar…Allahu Akbar…Allahu Akbar…Laa ilaaha illallaahu Allaahu Akbar…Allahu Akbar wallillah ilham.

http://lanh14.blogspot.com/2010/11/ke-makkah-sudah-tetapi-kenapa-galak.html

No comments

Powered by Blogger.