Lapangan terbang Alor Setar ditutup kecuali perkhidmatan helikopter

PETALING JAYA, 3 Nov — Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar, Kedah akan ditutup sehingga esok kepada semua penerbangan, kecuali perkhidmatan helikopter, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Chong Ha.

Beliau berkata hujan lebat sejak beberapa hari lepas terutamanya di wilayah utara Semenanjung Malaysia mengakibatkan banjir melanda kawasan berkenaan dan memaksa penutupan lapangan terbang itu sejak semalam.

“Kami ingin memohon maaf disebabkan keadaan yang tidak dijangka ini berikutan keadaan cuaca,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pameran perkongsian Malaysia Airlines (MAS) bersama syarikat dari Amerika Syarikat yang beroperasi di Malaysia di Terminal Skypark, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, di sini hari ini.

Lapangan terbang itu mengendalikan penerbangan MAS dari Alor Setar ke Kuala Lumpur tiga kali sehari; penerbangan AirAsia dari Alor Setar ke Kuala Lumpur (dua kali); dan FireFly dari Alor Setar ke Subang (dua kali).

Lapangan terbang itu terletak 12 kilometer dari Alor Setar dan dapat mengendalikan sehingga 800,000 penumpang setiap tahun.

Kong berkata lapangan lain seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Baharu dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu masih beroperasi seperti biasa.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Tengku Datuk Azmil Zahruddin berkata pelanggan syarikat penerbangan negara yang telah menempah tiket penerbangan ke Alor Setar dan tidak dapat menaiki penerbangan disebabkan penutupan lapangan terbang dibenarkan menjadualkan semula penerbangan atau memilih destinasi paling hampir. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.