MPMUM jangan jadi ‘pak turut” HEP

oleh: Mohd Aizat Salleh***

Surat ini merujuk kepada surat yang bertajuk ‘MPMUM sokong ETP, hab pusat hiburan malam’ yang dikirim oleh Yang Di-Pertuanya, Khairul Anuar Abu Kasim.
Terdapat dua perkara yang boleh dilihat.

Sekiranya tulisan itu ditulis olehnya sendiri, saya selaku bekas mahasiswa Universiti Malaya dan pernah menjadi exco di dalam MPMUM tahun sebelumnya sangat malu dan kecewa dengan kenyataannya sebegitu.

Amat malang sekali sebagai orang nombor satu di kalangan mahasiswa di dalam universiti yang ternama boleh memberikan pandangan sebegitu rupa. Kalaupun nak memperlihatkan usaha menyokong kerajaan, tapi janganlah sampai ‘pak turut’ sebegitu sekali.

Namun andainya tulisannya itu disabotaj orang sebagaimana yang didakwanya itu, saya sekali lagi berasa malu kerana amat lemahnya kepimpinannya itu sehingga boleh dipermainkan orang lain.

MPMUM 2008/09

Ketika menjadi ahli perwakilan MPMUM dahulu, saya rasa tidaklah seteruk kepimpinannya kali ini. Walaupun kami hanya memenangi majoriti yang tipis, namun rancangan perubahan untuk mahasiswa kami laksanakan.

Dibawah kepimpinan YDP Ridzuan Mohamad, antaranya kami telah memotong elaun exco MPMUM sebanyak 30 peratus dan diberikan kepada mahasiswa OKU, memperbanyakkan wacana ilmiah antaranya wacana ekonomi, politik dan mahasiswa. Paling berjaya adalah mentranformasi Festival Konvokesyen Universiti Malaya (FESKUM) sehinggakan mendapat pujian Pro-Canselor UM, Raja Dr Nazrin yang bertitah sewaktu perasmian ‘this is the best feskum ever’

Paling penting, kebajikan mahasiswa sangat dijaga. Antaranya membela nasib hampir 200 pelajar yang telah dibuang kolej di kolej kediaman kesepuluh serta menyelesaikan kenaikan harga yuran sebanyak RM100 di kolej kediaman kelapan.

Dan tidak sekali-kali MPMUM mengikuti secara membuta tuli apa sahaja keputusan Hal Ehwal Pelajar (HEP). Misalnya dalam perlaksanaan sistem e-voting di dalam Pilihan Raya Kampus (PRK), kami adalah orang yang menentangnya kerana mengabaikan suara mahasiswa. Walaupun ketika itu Naib Canselor sendiri menyokong, kami tetap menentang Naib Canselor sendiri.

Krisis MPMUM sesi ini

Amat teruk MPMUM sesi kali ini hanya menjadi ‘pak turut’ kepada (HEP) universiti. Lebih mudah dikatakan menjadi ‘pengawas sekolah’. Apa yang diperintah HEP diikuti, apa yang dilarang pun diikuti juga untuk dilaksanakan.

Selagi mana tidak mendapat ‘kelulusan’ HEP, maka program tidak akan berjalan. Selagi tidak mendapat ‘tandatangan’ pegawai HEP, tidak boleh bergerak. Akhirnya yang paling berkuasa di universiti adalah HEP, MPMUM sekadar mengangguk-angguk.

Apa makna dipilih sebagai perwakilan mahasiswa? MPMUM diundi oleh mahasiswa, sewajarnya hasrat dan kehendak mahasiswa yang perlu dituruti, bukan pentadbiran mahupun mana-mana parti politik.

Malang dan sedih sekali lagi, jika wakil-wakil mahasiswa ini mendapat ‘anugerah’ berupa percutian ke tempat-tempat menarik, gah menghadiri program-program bersama menteri, makan malam bersama orang ternama, dalam masa yang sama mengabaikan kebajikan mahasiswa di universitinya.

Krisis ini yang sedang melanda kepimpinan MPMUM malah saya kira keseluruhan universiti berlaku sedemikian. Selagi mana pemikiran mereka masih ‘HEP oriented’ selagi itu mereka tidak akan berani untuk bertindak.

***Penulis adalah mantan pengerusi, Exco Kerohanian, kepimpinan dan pembangunan Insan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) sesi 2008/09

No comments

Powered by Blogger.