Para isteri dipindahkan sebagai pengundi pos di Galas

Faisal Mustaffa

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menunjukkan prestasi yang teruk dalam pilihan raya kecil (PRK) yang berlangsung di Galas, Kelantan dan Batu Sapi, Sabah baru-baru ini.

Tidak satu pun laporan media ketika ditemuramah jentera parti yang bertanding, termasuk calon-calon, yang mengucapkan terima kasih kepada SPR atas tanggungjawab yang dilaksanakan. Adakah pihak media terlupa untuk melaporkan atau pun sememangnya tiada pihak yang berterima kasih?

Sepanjang kempen pilihan raya, parti-parti politik yang berkepentingan dan wartawan terpaksa mendedahkan banyak perkara yang mana didapati dilakukan SPR tidak dijalankan atas kewajipan mereka sebagai penyelaras. Apabila kita mempunyai pengerusi SPR dari bekas ketua setiausaha kerajaan, sudah tentu timbul syak wasangka mengenai kredibilitinya.

Atas kapasitinya yang didakwa terdapat banyak kekangan dalam menjalankan pilihan raya, SPR tidak sepatutnya mengadakan kedua-dua pilihan raya pada waktu yang sama. SPR sememangnya mempunyai kuasa dalam penentuan tarikh pengundian dalam tempoh 60 hari.

Hakikatnya kedua-dua wakil rakyat tersebut (yang mencetuskan kekosongan kerusi) meninggal dunia pada waktu berlainan, maka SPR pun boleh mengumumkan hari penamaan calon dan pengundian pada tarikh yang berbeza.

Kakitangan bagi penyelarasan dan pemantauan juga boleh menggunakan tenaga kerja sepenuhnya dari satu PRK ke satu PRK yang lain, manakala pihak pengurusan SPR boleh memberi fokus sepenuhnya pada setiap satu. Saya memandang cara menjalankan PRK serentak ini telah menggandakan kos penyelarasan.

Pengundi mendapat imbuhan

SPR sepatutnya menggalakkan orang ramai menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada masa pilihan raya. Iklan lapuk yang disiarkan di televisyen dengan lagu sejak 20 tahun yang lalu tidak cukup memberi motivasi untuk pengundi keluar membuang undi.

Bagi mencapai peratusan keluar mengundi yang tinggi, SPR sepatutnya melihat tarikh penetapan dalam penamaan calon dan pembuangan undi. Tarikh penamaan calon ditetapkan pada x (hari) dan pembuangan undi pada y (hari) amat tidak memberi kesenangan kepada kakitangan-kakitangan yang bekerja makan gaji untuk memilih wakil rakyat mereka, terutama mereka yang bermastautin di luar kawasan.

PAS secara terang telah mengumumkan bahawa partinya akan membantu menyalurkan wang saku sebanyak RM250 kepada mereka yang datang dari luar kawasan Galas untuk mengundi tetapi PAS pula dituduh membeli undi.

Sebenarnya tugas untuk menggalakkan pengundi luar datang mengundi ialah SPR, bukannya parti yang bertanding. Bagi mengelakkan daripada pertuduhan 'beli undi' SPR sepatutnya menggalakkan perkara yang sama.

Perbuatan 'beli-undi' ini juga pernah berlaku pada pilihan raya umum lepas Mac 2008 secara terbuka di tempat letak kereta Bukit Jalil. Barisan Nasional telah mendirikan khemah bagi pengundi-pengundi luar pergi mengundi dan mengutip wang sebanyak RM200, dakwa Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok. Beliau juga mendakwa mereka yang datang untuk mengambil wang itu pengundi hantu yang didaftarkan di Kelantan.

Namun, kedua-dua kes yang berlaku ini, SPR tidak mengambil sebarang tindakan pun, sungguhpun terdapat bukti-bukti lengkap.

Selain itu, di dalam majlis makan malam Wanita Umno di Batu Sapi, RM20 diedarkan kepada pengunjung yang datang dan menyerahkan MyKad mereka. Sungguhpun Ketua Wanita Umno menyatakan ianya hanya diedarkan kepada jentera kempen, tetapi wartawan juga mendakwa mendapat RM20 tersebut dengan menyerahkan MyKadnya.

Sungguhpun bukti rakaman penyerahan wang tersebut dibuat, masih tiada tindakan diambil terhadap Wanita Umno.

Salahguna jentera kerajaan

SPR juga perlu memberi penjelasan bagaimanakah timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin boleh mengetahui bahawa kemenangan 13 daerah mengundi berpihak kepada BN awal-awal lagi? Muhyiddin mengumumkan demikian kepada media persis seorang tukang tilik yang tidak memerlukan asap kemenyan.

Walaupun nujuman ini dilaporkan oleh media, SPR tidak menyoalsiasat Muhyiddin mahupun membuat sebarang siasatan.

BN telah menuduh bahawa pemberian wang zakat kepada Orang Asli di Gua Musang yang diedarkan oleh Menteri Besar Kelantan Nik Aziz Nik Mat semasa kempen mengundi Galas adalah satu perbuatan rasuah. Namun Muhyiddin juga didapati mengedar RM300 kepada setiap warga emas semasa berkempen di Kampung Batu Papan. Adakah terdapatnya perbezaan di antara kedua-dua kes tersebut?

Di PRK Batu Sapi, semasa kempen masih berjalan, Perdana Menteri Najib Razak telah meluluskan dengan serta-merta projek membesarkan jalan di Jalan Sibuga bernilai sebanyak RM16 juta. Jika kita mengimbas kembali kepada tahun 2007, kerajaan Selangor (BN) juga telah mentarkan setiap lorong jalan di kawasan Ijok sepanjang tempoh PRK Ijok.

Perbuatan-perbuatan ini jelas termasuk dalam kategori penyalahgunaan jentera kerajaan tetapi tidak ada satu pun diambil tindakan oleh SPR. Berlainan dengan Filipina, pilihan raya dikira batal apabila mendapati salah seorang calonnya berkempen di kawasan pedalaman menggunakan helicopter milik angkatan tentera udara. Begitu seriusnya perbuatan menyalahguna jentera kerajaan tetapi tidak dianggap penting oleh SPR di sini.

Tidak dimaklumkan tentang status pemilih

Di sebalik memansuhkan pengundian pos bagi anggota tentera dan polis, pada sukuan ketiga, SPR telah menambahkan pengundi pos seramai 18,493 orang yang ditukarkan status daripada pengundi biasa kepada pengundi pos. Tetapi menurut rekod, hanya terdapat 76 permohonan sahaja pengundi baru yang memohon sebagai pengundi pos.

Secara sukarela SPR telah menambah banyakkan jumlah pengundi pos seolah-olah negara ini terdapat laut, gunung-ganang dan ketidakteraman sehingga terpaksa isteri-isteri anggota polis dan tentera dipindahkan sebagai pengundi pos di Galas.

Malah, lebih mencurigakan apabila berdasarkan senarai pemilih yang dikemaskini bagi sukuan ketiga, penambahan pengundi pos di Kelantan sebanyak 3,187 orang, Kedah (2,876 pengundi) and Perak (2,007). Kenapakah jumlah yang besar seperti ini berlaku di negeri-negeri menjadi tumpuan Pakatan Rakyat?

Di Pulau Pinang, 630 orang isteri tentera di dewan undangan negeri (DUN) Teluk Air Tawar memberitahu bahawa mereka tidak dimaklumkan bahawa status mereka ditukar sebagai pengundi pos. Malah, peraturan-peraturan pilihanraya (Pendaftaran Pemilih) pindaan 2002 dalam seksyen 2(b) menyatakan mana isteri seorang anggota tentera diberi pilihan sama ada mahu mendaftar sebagai pengundi tidak hadir (undi pos) atau pengundi awam.

SPR juga telah membuat keputusan untuk membawa pulang kertas undi dari empat kawasan Orang Asli di Belatim, Balar, Bihai dan Hau ke pusat pengumpulan kotak undi di dewan pusat sivik Gua Musang melalui helikopter tanpa mengiranya terlebih dahulu di pusat pengundian. Pada PRU 2008, undi bagi keempat-empat kawasan tersebut dikira di tempat mengundi terlebih dahulu tetapi ditukar kaedahnya pada PRK kali ini.
Ini juga sudah tentu menimbulkan keraguan.

1 comment

Modern Talking said...

cakap x guna tembak x kena.. dah tau camtu .. lagi mau lawan dgn BN, Bersih apa citer? bila lagi nak buat road tour... klu tak sampai bila2 lah kena tipu.. x mustahil pru13 BN akan menang besar. Aku pun dah kecewa dgn PR, yg tak bersungguh2.. paling aku kecewa.. PKR .. berapa Ramai pengundi baru dia dpt tarik? itu lebih penting dari bergaduh dgn pemilihan... malas cakap banyak dah...

Powered by Blogger.