Penggemblengan harta intelektual

Ashadi Zain

Dalam usaha negara bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi, pelbagai inisiatif digerakkan bagi melahirkan modal insan yang mampu menyumbang secara cekap dan berkesan, sejajar dengan hasrat bagi mencapai kemajuan mengikut acuan sendiri. Salah satu inisiatif berkenaan adalah penubuhan Perbadanan Bakat yang akan mula beroperasi pada Januari 2011.

Penubuhan sebuah entiti khusus bagi menggalakkan kepulangan rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara adalah usaha yang baik bagi menambahkan jumlah tenaga pakar di Malaysia, sekaligus dapat merancakkan kegiatan ekonomi, antaranya melalui pelaburan langsung asing yang menjadikan kewujudan tenaga pakar sebagai salah satu kriteria sebelum mereka melabur di mana-mana negara.

Dalam pada kita berusaha membawa pulang rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, adalah wajar juga usaha digiatkan lagi bagi memanfaatkan modal insan sedia ada di Malaysia, yakni sumber manusia yang tidak pernah bekerja di luar negara, demi menyumbang bakti di tanahair sendiri.

Sudah semestinya ada di kalangan individu tersebut yang sebenarnya memang tergolong dalam kategori tenaga mahir bertaraf antarabangsa. Namun bakat yang ada masih terpendam dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya, ekoran kurangnya peluang dan pendedahan yang diberikan kepada mereka.

Maka dengan demikian, mereka seeloknya diberikan peluang yang lebih luas dan pendedahan yang lebih mantap supaya negara tidak mensia-siakan potensi yang ada dalam setiap rakyat Malaysia. Pelaksanaan program-program tertentu bagi mencungkil bakat dan kemahiran modal insan sedia ada sudah pasti dapat melengkapi usaha bagi membawa pulang modal insan dari luar negara, lantas mengoptimumkan mobilisasi modal insan ke peringkat yang lebih tinggi.

Antara platform yang dapat dimanfaatkan bagi mencungkil bakat terpendam di kalangan rakyat adalah melalui pusat inovasi komuniti yang akan mula beroperasi di Sabah dan Sarawak, sebelum dibuka pula di lain-lain negeri.

Penubuhan Makmal Belia juga dapat berfungsi sebagai wadah yang efektif dalam usaha mencari idea baharu bagi menyerlahkan dan menonjolkan kebolehan anak tempatan hingga ke persada antarabangsa, sekaligus meningkatkan pendapatan negara.

Dalam hal ini, adalah wajar jika segala usaha bagi menggalakkan pengembangan bakat melalui inovasi dan kreativiti tidak hanya tertumpu pada sains dan teknologi fizikal sahaja, tetapi juga bidang-bidang lain yang mempunyai potensi bagi dikembangkan sebagai harta intelektual (intellectual property).

Misalnya adalah pengkomersilan idea-idea sains sosial yang berupaya mengubah keadaan sosioekonomi, meningkatkan kecekapan, memperbaiki cara kerja sedia ada dan sebagainya.

Grameen Bank adalah satu contoh idea sains sosial yang berjaya mengubah kedudukan sosioekonomi masyarakat luar bandar, yang mana idea yang berasal dari Bangladesh itu kemudiannya disesuaikan di Malaysia dan dilaksanakan melalui Amanah Ikhtiar Malaysia.

Usaha-usaha menggalakkan kemunculan inovasi dan kreativiti di Malaysia dapat ditingkatkan lagi melalui pendemokrasian idea (democratisation of ideas), yang mana idea diterima berdasarkan mutunya dan bukan berdasarkan siapa yang mengutarakannya. Seterusnya, Malaysia mampu menjadi negara berpendapatan tinggi melalui daya kreativiti dan inovasi yang hebat.

Melalui pendemokrasian idea, sesiapa sahaja dapat mengusulkan ideanya, tidak kiralah sama ada dia seorang profesor di menara gading mahupun surirumah yang tidak bekerja.

Baru-baru ini juga, kerajaan ada mengumumkan bahawa idea-idea yang baik daripada rakyat akan cuba dikomersilkan dan jika mampu, dikomersilkan hingga ke peringkat antarabangsa.

Ini sudah pasti dapat dipermudahkan melalui pendemokrasian idea yang merangkumi sains fizikal dan sains sosial, hingga akhirnya menghasilkan situasi menang-menang bagi si tuan punya idea dan juga kerajaan, yakni melalui pendapatan yang diterima berikutan pengkomersilan tersebut.

Semoga Perbadanan Bakat dapat mempertimbangkan pengkomersilan melalui saluran pendemokrasian idea sebagai salah satu dari aktivitinya. Ya, memanglah ini mungkin bukan mandat asal (original mandate) yang diberikan kepada Perbadanan Bakat.

Namun ia sebenarnya tidak lari dari matlamat bagi mengembangkan bakat di Malaysia, selaras dengan objektif utama (ultimate objective) kerajaan bagi mewujudkan negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, sama ada melalui kemasukan semula tenaga pakar tempatan dari luar negara mahupun pengkomersilan idea rakyat marhaen, yang mana kedua-duanya mampu menjana pendapatan bagi negara.

No comments

Powered by Blogger.