'Profesor Kangkung', graduan kaku ekoran AUKU

Ramli Abdul Samad

Mahasiswa Kini



Mahasiswa kini

hidup terpinggir di rimba buku

di sisi mereka ada AUKU

yang bertaring dan berkuku

saban waktu

boleh membaham dan mencengkam

mulut-mulut celupar

Mahasiswa kini

setelah bosan memeluk buku

mereka belajar memandu

atau bermain gitar

menyanyikan lagu Melayu:

'nak dara rindu'

yang boleh melenakan

bangsa Melayuku

dan lembu-lembu

di Tanah Melayu

(Oleh Ahmad J. Hussein)

Kita mungkin sependapat bahawa kecenderungan yang tidak sihat akan terus menyongsong masa depan dengan berterusnya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) seperti yang diumumkan oleh pihak pemerintah pada setiap kali ada rayuan atau desakan akan akta itu dibakulsampahkan. Nampaknya harapan pecinta perubahan atau reformasi mula terserentak dengan berita akta tersebut tidak akan dimansuhkan. Dalam hal ini Kementerian Pendidikan Tinggi menjadi fokusnya.

AUKU sering dikatakan sebagai faktor yang mengakibatkan suasana lesu dan tak bermaya di menara gading baik dari kalangan tenaga pengajar mahupun mutu para pelajarnya. Jika tidak percaya, tinjaulah ke pustaka akademik masing-masing, akan kelihatan jumlah kecil saja para akademik yang menziarahi ke sana untuk mentelaah bahan-bahan terbaru di bahagian majalah terkini.

Apa yang jelas kelihatan ialah para siswa yang sibuk membaca nota-nota kuliah untuk dicernakan semula dalam peperiksaan.

Kita tidak tahu apakah para akademik tidak mendisiplin diri untuk membaca bahan-bahan yang mengandungi penemuan-penemuan baru dalam pelbagai bidang termasuk sains, teknologi dan kemanusiaan. Mereka mungkin tidak lagi mengenal perpustakaan kerana adanya internet.

Mereka selain membuat kertas kerja kerana terpaksa, tidak pernah mencuba atau berusaha mengungkapkan gagasan-gagasan mereka dalam penulisan bagi masyarakat awam. Menyelenggarakan acara-acara semacam itu atau acara-acara yang lebih sesuai dengan tuntutan kehidupan terpelajar sejati memang akan lebih sulit.

Apakah sudah terjadi dengan konsep perguruan tinggi selain daripada mengeluarkan tenaga manusia? Perguruan tinggi pernah suatu masa dulu mempaparkan suatu lembaga atau institusi yang serius, sesuatu yang menuntut disiplin dan ketekunan. Ketika itu AUKU belum wujud lagi. Zaman gemilang yang pernah dilakar IPTA kita seperti Universiti Malaya atau Universiti Sains Malaysia ketika tiadanya AUKU telah berlalu dan kini diganti pula dengan hal-hal yang menimbulkan gelak ketawa yang terpaksa disuguhkan oleh para pentadbir sekian banyak IPTA kini.

Kita membaca dan mengikuti misalnya pemberian atau penganugerahan pangkat 'profesor' sudah dipandang sumbang malah dipertikaikan oleh orang ramai. Istilah 'Profesor Kangkung' yang diperkenalkan oleh Profesor tersohor Syed Hussein Al-Atas menjadi pemerihalan yang kurang enak bagi para penyandang profesor kerana kita kurang pasti apa sebenarnya penguasaan ilmu seseorang profesor itu.

Di pihak yang lain pula, terdapat fenomena bahawa rata-rata para lepasan graduan kita sudah tidak dapat bertutur dengan yakin diri dalam bahasa, bukan sahaja bahasa Inggeris tetapi dalam bahasa Melayu jua. Sementara itu ramai pensyarah yang berilmu dalam bidang tertentu mempamerkan sikap introvert mereka.

Kurang pengelolaan intelektual

Sebenarnya sesebuah pusat pengajian tinggi itu adalah pertama-tamanya tempat untuk mengembangkan serta menimba ilmu dan dengan demikian merupakan tempat untuk memekarkan potensi intelektual para siswa, dan sebenarnya juga potensi intelektual tenaga-tenaga akademik.

Upaya seseorang untuk memekarkan potensi intelektualnya itu, apabila dilaksanakan dengan benar tanpa melupakan pelbagai aspek lainya dalam kehidupannya sebagai manusia, dengan sendirinya akan berpengaruh positif pula terhadap pengembangan peribadinya sebagai manusia.

Aspek intelektual bukan sahaja merupakan aspek yang sangat penting dalam setiap kehidupan manusia tetapi adalah juga merupakan suatu totaliti. Pengelolaan intelektuallah yang mesti dominan sebagai ciri, watak dan citra sesebuah pengajian tinggi itu.

Meskipun pihak kerajaan mempunyai hujah-hujah kenapa AUKU 1971 tetap berkuatkuasa dan harus dipertahankan, namun kita rasa sebab lain antaranya AUKU itu boleh digunakan bagi mengendalikan kemajuan kesedaran sosial, kesedaran politik mahupun kesedaran warga negara.

Suatu hujah yang lazim diutarakan oleh pihak pemerintah yang kesedaran sosial dan politik dan seterusnya, justeru dikendalikan demi kestabilan. Sering dikatakan kestabilan diperlukan oleh pembangunan. Kestabilan ada harganya, iaitu penggendalian kesedaran sosio-politik, penggendalian kebebasan dan penggendalian hak-hak demokrasi.

Kita sudah tentunya tidak mahu satu keadaan yang mana dari satu segi negara mencapai kemajuan ekonomi sementara perkembangan untuk rakyat tidak seimbang dengannya.

Di saat ini, kita dihiburkan dengan prestasi ekonomi makro kita baik dan merupakan angka-angka yang dikagumi, tetapi belumlah dengan sendirinya prestasi makro itu akan menjadi kenyataan mikro. Dengan erti kemajuan ekonomi makro tidak membantu perkembangan kesedaran sosial di kalangan komuniti pendidikan tinggi.

Mungkinkah ini satu pelajaran dan pengalaman baru selepas 53 tahun kita merdeka?

Dalam hal ini, kita tidak dapat elak bahawa pemerintah sudah banyak melakukan liberalisasi ekonomi sedangkan tidak pada liberalisasi politik. Kedua-duanya adalah anak kandung daripada faham masyarakat yang menjunjung tinggi harkat dan nilai-nilai kemanusiaan, dan kerana itu penerapan dan pengembangannya tidak akan terlepas dari akar kebudayaan kita sendiri.

Soalnya sekarang, apakah dengan perkembangan kesedaran sosio-politik kita, maju atau mundur? Kemajuan pada bidang ekonomi sejauh mana menyentuh kemajuan dalam kesedaran sosial, tanggungjawab politik dan dalam kualiti atau mutu warga negara? Sudah tentunya pihak pemerintah tidak mengambil perhatian kepada dinamik masyarakat selagi AUKU itu tidak akan dimansuhkan.

No comments

Powered by Blogger.