Selangor peruntuk RM6 juta setahun untuk sekolah agama rakyat

http://www.harakahdaily.net/v2/images/stories/drhalimah_bouti.jpg
Harakahdaily

SUBANG JAYA, 30 Nov: Kerajaan Selangor memperuntukkan RM6 juta setahun bagi membantu Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri itu untuk membolehkan cita-cita kerajaan negeri mencapai hasrat negeri maju yang mendapat keredhaan Allah.

Exco kerajaan negeri, Dr Halimah Ali berkata, sehingga kini RM12 juta telah diserahkan kepada sekolah-sekolah berkenaan.

"Kerajaan negeri Selangor sedang berusaha membentuk anak mudanya menjadi khalifah Allah yang bakal mentadbvir dunia. Khaira ummah (ummah terbaik) menjadi agenda kerajaan negeri Selangor," kata Dr Halimah.

Beliau berkata demikian ketika berucap di persidangan antarabangsa yang dikenali sebagai 'International Conference On Islamic Education 2010 (ICIEd2010)' sebagai satu perancangan untuk memperkasakan sistem pendidikan bukan hanya di Selangor malah di seluruh dunia.

Program yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim merupakan satu inisiatif yang dilakukan oleh Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan dengan kerjasama beberapa pihak lagi termasuk Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis).

Sebanyak 140 kertas kerja telah dibentangkan dalam persidangan diadakan di Holidays Villa Hotel & Suites, di sini telah bermula pada 29 November lalu hingga 1 Disember 2010, oleh tokoh-tokoh pendidikan Islam seperti Sheikh Professor Dr Mohammad Said Ramadhan al Bouti, Professor Dato' Sidek Baba dan ramai lagi.

Persidangan yang disertai oleh 250 peserta dari pelbagai negara berjalan atas usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri melalui exco pendidikan menaikkan taraf pendidikan di Selangor.

Persidangan ini berjaya menjurus ke arah zaman cerah selepas mendapat suntikan semangat perjuangan baharu dari tokoh pendidikan terkenal dunia Islam, Sheikh Professor Dr Mohammad Said Ramadhan al-Bouti daripada Universiti Damascus, Syria.

Intipati ucapannya menyebutkan pendidikan Islam walau di mana sahaja tempatnya dan pada bila-bila masa tetap perlu berteraskan kepada bagaimana bentuk perjalanan perjuangan Nabi Muhammad saw yang berjaya melahirkan satu generasi sahabat paling hebat yang terkenal di alam dunia dan berjaya di akhirat kelak.

Tegas beliau, daripada model emas itulah, dibentuk berbagai kaedah dan pendekatan yang meskipun berbeza daripada bentuk asal berasaskan kelainan geografi setempat dan berbeza latar belakang kehidupan sesebuah negara tetapi hadaf dan matlamat utama pendidikan Islam tetap mengajak manusia ikhlas melakukan ketundukan kepada Allah SWT.

Dr Said Ramadhan yang juga Ketua Jabatan Agama dan Pegangan, Fakulti Perundangan Islam di Universiti Damascus berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Masa Hadapan Pendidikan Islam: Iktibar daripada Sirah Nabawi di hari pertama persidangan tiga hari bermula 29 November dan berakhir pada 1 Disember esok.

1 comment

Unknown said...

cakap dan bikin.Nanti mati kena potong lidah.

Powered by Blogger.