Susilo Arah Pusat Ambil Alih Pengurusan Bencana Merapi

Oleh Ahmad Fuad Yahya

JAKARTA, 5 Nov (Bernama) -- Presiden Susilo Bambang Yudhoyono hari ini mengarahkan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) untuk mengambilalih pengurusan bencana letusan Gunung Merapi di sempadan provinsi Yogyakarta dan Jawa Tengah yang sehingga ini telah mengorbankan kira-kira 100 jiwa dan memusnahkan beberapa perkampungan.

"Meskipun kerajaan Yogyakarta dan Jawa Tengah berfungsi, tetapi melihat keadaan bencana Merapi yang berterusan, maka diputuskan supaya ia diurus oleh BNPB dibantu Gabernor, Ketua Polis Negeri dan Panglima Angkatan Tentera peringkat negeri," katanya dalam ucapan kepada negara yang disiar secara langsung di TV.

Susilo berkata bencana Merapi berbeza dengan tsunami di Mentawai, Sumatera Barat dan banjir Wassior di Papua Barat yang bekemungkinan hanya berlaku sekali.

Merapi mempunyai putaran letusan dalam jangka waktu beberapa tahun, namun kali ini kerajaan berpendapat ia tidak seperti putaran tiga atau enam tahun sebelum ini, katanya.

Bencana masih terus berlaku dan sukar diramal sampai bila lahar ini akan terus keluar.

Beliau berkata agensi kerajaan pusat akan diwujudkan di kawasan bencana di bawah Kementerian Koordinator Kesejahteraan Rakyat agar bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan tepat kepada mangsa.

Susilo berkata Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan anggota polis sedang mempersiapkan diri untuk membantu petugas lapangan di lokasi bencana seperti menyediakan pengangkutan untuk mengangkut penduduk, pembangunan dapur umum, pengaturan lalu lintas yang kian kompleks dan pembangunan hospital di lapangan.

Selain membantu secara fizikal, Presiden berkata kehadiran mereka akan membantu untuk mengurangkan kepanikan di kalangan rakyat.

Keputusan penting yang diambil presiden hari ini ialah rancangan kerajaan membeli semua haiwan ternakan penduduk di lereng Merapi dengan harga yang sesuai.

"Selama ini warga enggan berpindah kerana beralasan masih menguruskan ternakan yang berada di rumah mereka. Sebahagian lainnya ikut berpindah namun meneruskan rutin harian menguruskan ternakan mereka di kawasan yang hampir dengan Merapi.

Keadaan inilah yang menyebabkan ramai penduduk terkorban selain menyukarkan proses pemindahan yang telah ditentukan oleh kerajaan negeri.

"Kerajaan akan membeli dengan harga yang sesuai untuk menyelesaikan pembelian dan hal-hal lain. Sehingga masyarakat tidak terbeban dengan arahan kerajaan untuk berpindah ke tempat selamat," katanya.

Susilo juga berkata beliau akan berada di Yogayakarta untuk sementara bagi memudahkan keputusan dibuat.

Merapi yang diumumkan dalam status puncaknya iaitu "Awas" pada 25 Okt meletus dengan dahsyat sehari kemudian yang mengorbankan kira-kira 50 orang dan mencederakan banyak warga tempatan.

Setelah itu, Merapi terus meletus beberapa kali sehingga letusan paling dahsyat tengah malam tadi yang menyebarkan awan panas dan abu volkanik ke kawasan yang jauh sehingga kota Yogyakarta, 40km dari gunung itu.

No comments

Powered by Blogger.