Turki: Tiada rundingan sebelum Israel mohon maaf

ANKARA: Perdana Menteri Turki Tayeb Erdogan mengulangi seruannya supaya Israel memohon maaf terhadap serangan ke atas kapal flotila menuju Gaza yang mengakibatkan sembilan aktivis keamanan negara itu terbunuh.

Erdogan berkata Ankara tidak akan mengadakan rundingan dengan Tel Aviv kecuali ia memohon maaf dan membayar ganti rugi terhadap "serangan ganas" di atas kapal-kapal yang membawa bantuan kemanusiaan di perairan antarabangsa pada 31 Mei lalu.

"Israel akan memohon maaf. Dan Israel mesti membayar pampasan. Selepas itu, baru boleh kita memulakan rundingan," Erdogan memberitahu Televisyen 24 Perancis.

Flotila Kebebasan Gaza cuba untuk menyerahkan bantuan kemanusiaan kepada 1.5 juta penduduk Gaza yang kelaparan, akibat sekatan Israel sejak 2007.

Serangan itu merosakkan hubungan dua hala Israel-Turki, yang telah pun menjadi keruh sejak serangan Tel Aviv ke atas Gaza pada 2009, yang mengorbankan 1,400 penduduk Palestin, kebanyakannya orang awam.

Serangan udara dan laut tidak dapat dilupakan

Erdogan berkata masyarakat Turki tidak dapat melupakan serangan udara dan laut oleh Israel terhadap aktivis yang tidak berupaya.

"Macam mana anda boleh memaafkan serangan dari udara dan dari laut terhadap kapal yang belayar di bawah bendera Turki dan membawa para penumpang dari seluruh dunia yang mahu menolong orang lain," katanya.

"Biar saya jelaskan bahawa Israel yang bertanggungjawab terhadap kekeruhan hubungan dua hala seperti sekarang ini dan jangan ada seorang pun yang menterjemahkannya dengan cara yang lain," tambah Erdogan.

Perdana Menteri Turki itu mengingatkan bahawa tidak ada alasan apa pun mereka bertindak sedemikian.

"Saya anggap ia sebagai serangan ganas di perairan antarabangsa. Tidak boleh dijelaskan dengan cara yang lain lagi," terang beliau.

"Adakah mereka menjumpai apa-apa senjata? Tidak. Dan mereka menyerang orang-orang yang tidak berupaya ini dari udara dan laut.

Jadi tidak ada alasan apa pun untuk mengambil sikap sebegitu," katanya. Majlis Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu mengarahkan siasatan dijalankan berhubung serangan Israel itu, dan menyatakan terdapat bukti jelas untuk memfailkan pendakwaan terhadap Tel Aviv.

- db/mgh

1 comment

Mohamadazhan.com said...

tahniah Turki, tidak memberi muka pada negara celaka laknat tu.

Powered by Blogger.