BETUL KE PAS BERBOHONG ATAUKAH CALON UMNO YANG BERBOHONG?

Dr. Dzul

PAS dituduh berbohong tatkala kes kesalahan calon Umno didedahkan dalam PRK N05 Tenang. Justeru kerana calon Umno ini sangat lecek dan terlalu pandai putar-belit serta terus dalam penafian, maka saya kira wajar untuk dipost kedua-dua kenyataan akhbar PAS untuk tatapan sdra-sdra membuat keputusan. Sememangnya terdapat lambakan isu lain namun isu ini amat penting untuk pengundi membuat keputusan dalam PRK ini pada hari Ahad 30 Januari ini.

Mohd Azahar Ibrahim mendakwa bahawa beliau tidak bersalah kerana hanya menjalankan tugas. Yang bersalah mengikut beliau ialah Mansor Mohamd, pemilik tanah, kerana tidak membayar hutang kepada CIMB lalu dilelong tanahnya oleh beliau yang hanya menjalankan tugas selaku penjawat Penolong Pendaftar Tanah Daerah Segamat.

Ya, begitu mudah sekali, beliau ingin melepaskan dirinya setelah melakukan satu penganiayaan kepada seorang pemilik tanah dan sekarang ini seorang lagi pemilik tanah yang membeli tanah tersebut dan mendapati dirinya juga teraniaya akibat kecuaian, ketidakcekapan dan ketidakbertanggungjawaban bekas ADO ini.

Peribadi ini sekarang menawarkan dirinya sebagai calon Umno/BN,yang antara lain berjanji untuk menyelesaikan masalah tanah rakyat di Tenang dan Labis. Ikuti pendedahan kami dalam dua kenyataan akhbar kami di PRK N05 Tenang seperti berikut:

KENYATAAN AKHBAR PAS DALAM PRK N05 TENANG, 26 jANUARI 2011.

YANG MENGHUKUM AZAHAR SALAH BUKAN PAS TAPI MAHKAMAH.

Sepertimana yang pihak media ketahui semalam kami telah membangkitkan tentang isu integriti dan komptensi calon Umno untuk menjadi wakil rakyat bagi DUN Tenang dalam keadaan beliau tidak telus dan mempunyai rekod buruk menyalahguna kuasa beliau sebagai mantan Penolong Pendaftar Tanah Daerah Segamat untuk melelong tanah Encik Mansor Bin Mohamad dengan secara tidak sah pada 1/12/2003 dengan harga RM 70,000- 00.

Kami ingin menambah bahawa hartanah Encik Mansor Bin Mohamad yang dilelong secara tidak sah oleh calon Umno di atas kapasitinya sebagai Penolong Pendaftar Tanah Daerah Segamat adalah berukuran lebih kurang 8 ekar maka kami percaya rakyat dapat menilai kemunasabahan hartanah seluas 8 ekar tersebut hanya dijual pada harga RM 70,00-00 sahaja.

Dalam reaksinya kepada kenyataan akhbar kami semalam, calon Umno antara lain menyatakan isu yang kami bangkitkan tersebut sudah selesai (lihat Malaysiakin 25/11/ 2011 ) Di sini kami sekali lagi ingin menegaskan kepada pihak media bahawa kenyataan calon Umno yang isu tersebut telah selesai menunjukkan sekali lagi calon Umno tidak bercakap benar kepada para pengundi dan partinya sendiri.

Bagi menyangkal kenyataan calon Umno bahawa isu yang kami bangkitkan semalam telah selesai kami terangkan maklumat-maklumat berikut dengan para pengundi di DUN Tenang seperti berikut . a. Bagaimanakah calon Umno dengan mudah menyatakan isu tersebut telah selesai sedangkan disebabkan kecuaian, kelalaian dan penyalahgunaan kuasa beliau mengendalikan isu pelelongan hartanah Encik Mansor bin Mohamad tersebut telah mengakibatkan Puan Norhana binti Mohd Ali iaitu pembeli yang membeli hartanah yang dilelong secara tidak sah menyaman (i) calon Umno, (ii) Pentadbir Tanah Daerah Segamat, (iii) Pejabat Tanah Daerah Segamat dan (iv)

Kerajaan Johor sebagai Defendan-Defendan bagi menuntut gantirugi berjumlah lebih kurang 1.5 juta. b. Bagaimanakah calon Umno dengan mudah menyatakan isu tersebut telah selesai sedangkan dalam tuntutan Puan Norhana binti Mohd Ali ke atas keempat-empat Defendan tersebut, calon Umno telah dijadikan sebagai Defendan Pertama dan kes tersebut telah pun didaftarkan di Mahkamah Tinggi Muar iaitu Guaman Sivil No : 23-14-2009. c. Bagaimanakah calon Umno menyatakan kes tersebut telah selesai sedangkan Mahkamah Tinggi Muar telah pun menetapkan tarikh pendengaran kes tuntutan Puan Norhana binti Mohd Ali ke atas calon Umno dan 3 yang lain pada 7 hb Februari 2011 ( 7/2/2011 ). d. Bagaimanakah calon Umno dengan mudah menyatakan isu tersebut telah selesai sedangkan calon Umno sendiri diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Johor dalam kes tuntutan Puan Norhana binti Mohd Ali ke atas calon Umno tersebut.

Fakta-fakta di atas menujukkan sekali lagi bahawa calon Umno tidak bersikap telus bukan sahaja kepada rakyat di DUN Tenang sebaliknya kepada partai Umno dan BN itu sendiri. Hakikatnya fakta-fakta di atas menunjukkan bahawa bukan sahaja kes kecuaian, kelalaian dan penyalahgunaan kuasa calon Umno sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat belum selesai, sebaliknya kes penyalahgunaan kuasa ini masih berterusan di Mahkamah.

Mengapakah calon Umno dalam keadaan berhadapan dengan fakta-fakta yang kami nyatakan di atas masih enggan bersikap telus dan terus terang kepada para pengundi di DUN Tenang dengan mengakui bahawa isu kecuaian dan kelalaian beliau dalam melelong hartanah rakyat yang lemah masih belum selesai di Mahkamah dan belum selesai?

Berdepan dengan fakta-fakta yang kami sajikan di atas kami percaya satu-satunya jalan keluar bagi calon Umno untuk membersihkan namanya, jika beliau masih ada saki baki integriti dan harga diri, adalah dengan menarik diri sebagai calon Umno dalam pilihanraya kecil Dun Tenang . Bagaimanakah calon yang terpalit dengan isu penyalahgunaan kuasa sebagai penjawat awam dan kini berdepan dengan isu tuntutan RM 1.5 juta dari Puan Norhana binti Mohd Ali masih mempunyai kredibiliti untuk mewakili rakyat di DUN Tenang .

Bagaimanakah calon Umno masih kekal dalam penafian untuk terus menjadi calon Umno dan mewakili rakyat di DUN Tenang sedangkan kerana angkara dan tindakan beliau, beliau telah mendedahkan Kerajaan Negeri Johor kepada satu risiko yang tinggi iaitu terdapat kemungkinan besar Kerajaan Negeri Johor akan diperintahkan oleh Mahkamah untuk membayar gantirigi berjumlah RM 1.5 juta.

Jika itu yang berlaku bukankah wang rakyat Negeri Johor terpaksa digunakan sekali lagi untuk membayar gantirugi gantirugi 1.5 juta tersebut ? Sidang Akhbar PAS PRK N.05 Tenang

KENYATAAN AKHBAR PAS DALAM PRK N05 TENANG, 27 jANUARI 2011.

Ahmad Maslan Mengaku Azahar Bersalah

Kami masih bertegas untuk menyatakan bahawa kes Mahkamah calon Umno yang bakal didengar di Mahkamah Tinggi Muar pada 7hb Februari ini merupakan satu bukti jelas bahawa kes beliau ada jauh dari selesai. Beliau tidak lagi boleh berdolak-dalik untuk menyatakan bahawa beliau mengikuti prosedur lelongan dan bertindak dalam batas-batas peraturan.

Apa yang menjadi lebih malang ialah kenyataan beliau semalam yang terus menafikan bahawa beliau tidak bersalah dan yang bersalah adalah Mansor bin Mohamad yang telah memijam dari bank CIMB dan tidak membayar ansurannya sehingga tanah perlu dilelong. Beliau hanya bertindak menjalankan tugas sebagai seorang Penolong Pendaftar Tanah Daerah Segamat. Apa yang menjadi lebih malang lagi adalah kenyataan Datok Ahmad Maslan, seorang Timbalan Menteri merangkap Ketua Penerangan Umno, bahawa kesalahannya itu adalah bersifat sivil dan bukan kriminal.

Kami ingin sekali mengingatkan kepada calon Umno ini bahawa kesalahan beliau adalah melelong tanah secara tidak sah bukan sahaja tidak mengikut prosedur malah adalah satu perkara jelas bahawa beliau tidak kompeten dan idak tbertanggungjawab dan oleh sebab itulah Mahkamah Tinggi Muar memerintahkan dikembalikan tanah itu kepada pemilik asalnya, Mansor Mohamad bersama kos pada 2008. Jika tindakan melelong itu sah, mengikut prosedur dan bukan satu kesalahan, mahkamah tidak akan memerintahkan tanah itu dikembalikan.

Di sini kami sekali lagi ingin tegaskan kepada pihak media bahawa kenyataan calon Umno yang isu tersebut telah selesai menunjukkan sekali lagi calon Umno tidak bercakap benar kepada para pengundi dan partinya sendiri. Beliau sangat dipertikaikan integriti dan kewibawaannya khusus kerana janji dan komitmen peribadinya untuk bertanding adalah menjaga dan melindungi rakyat atas isu-isu tanah.

Hakikatnya fakta-fakta yang telah kami dedahkan sejak pendedahan ini jelas menunjukkan bahawa bukan sahaja kes kecuaian, kelalaian dan penyalahgunaan kuasa calon Umno sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat belum selesai, sebaliknya sikap calon khususnya dan pimpinan Umno amnya adalah sangat bermudah-mudah dengan isu-isu integriti, penyalahgunaan kuasa dan pertanggungjawaban.

Meskipun isu ini bukan kesalahan kriminal berat, seperti membunuh,mencuri dan merompak, namun atas kesalahan pengurusan dan saratnya negara ini dengan amalan pincang, timpang dan tidak bertanggungjawab seperti yang dilakukan calon Umno inilah, maka negara hari ini terjerumus dalam sistem penghantaran yang tiris dan bocor seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara yang menelan dana rakyat sebanayak RM28 bilion setipa tahun. Kenyataan Ahmad Maslam adalah amat-amat dikesali.

Kami mahu pimpinan Umno/BN menimbang kembali pencalonan Mohd Azahar Ibrahim ini kerana ternyata berlawanan, bukan sahaja curang kepada partinya dalam menutup kesalahan dirinya bahkan akan menjejaskan kredibiliti pentadbiran kerajaan.

Kami mempertegaskan dalam keadaan negara berhadapan dengan krisis-krisis pengurusan kewangan yang besar yang berpunca dari ketiadaan integriti kepimpinan, maka PRK N05 Tenang ini tidak memerlukan seorang calon yang akan memburukkan lagi keadaan sekaligus memburukan serta memangsakan rakyat yang lemah.

No comments

Powered by Blogger.