PAS yakin masyarakat Cina kekal bersama Pakatan

Harakahdaily

LABIS, 29 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yakin masyarakat Cina di Dun Tenang akan bersama Paktan Rakyat pada pilihan raya kecil itu esok.

Berucap pada majlis makan malam anjuran DAP malam tadi, beliau yakin sokongan lebih besar akan diberikan kaum itu berbanding Pilihan Raya Umum lalu.

“Pada 2008, kaum Cina telah memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat. PAS dan DAP menang di kawasan Cina, harap kemenangan selepas ini lebih besar.

“Saya yakin pengundi Cina akan melakukan kerja menumbangkan Barisan Nasional untuk anak tangga menuju Putrajaya,” lapor portal The Malaysian Insider.

Tambahnya, hasrat utama Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, PKR dan DAP adalah untuk membela nasib rakyat semua kaum yang ditindas kerajaan BN selama ini.

“Pakatan yang diajar oleh Islam dinamakan tahaluf (kerjasama politik). Dalam satu negara, kita berpakat menegakkan keadilan dan membanteras kezaliman.

“Kita berpakat dalam perkara asas yang sama. Umno Islam duduk dalam BN, barisan ini berbaris bukan berpakat... Umno tidak konsisten dan tak tunjuk perangai baik depan orang bukan Islam.. Ini tidak selesai masalah,” katanya.

“Kita perlu mengajar pengundi memahami dengan betul perbezaan antara PAS dan Umno dan perbezaan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.

“Orang melihat secara zahir Umno Islam dan Pas Islam... PAS tegakkan Islam sepertimana dalam al-Quran dan Umno anggap Islam hanyalah agama rasmi dalam Perlembagaan (Persekutuan) yang digubal British. Islam adalah sekular, Ini beza PAS dan Umno.

“Dalam politik yang dianjurkan Islam adalah berbeza dengan (Islam) yang dianjurkan Umno-Barisan Nasional, tiada masalah kita berbilang bangsa tinggal di tanah air, kita menolak politik perkauman,” katanya menjelaskan perbezaan.

Sehubungan itu jelasnya, semua pihak perlu memberi kepercayaan kepada Pakatan Rakyat yang telah terbukti di beberapa buah negeri yang diperintah memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira perbezaan agama dan kaum.

“Selamanya kita berpakat di atas persetujuan mengekalkan keadilan dan menolak yang zalim, adil untuk semua, tolong rakyat tanpa mengira kaum.

“Boleh tanya orang Kelantan, orang bukan Islam macam mereka diberi hak yang sama. Di Terengganu juga begitu, kita selesaikan tanah di Kampung Baru," kata bekas menteri besar Terengganu itu.

39 peratus pengundi Dun Tenang adalah terdiri daripada masyarakat Cina.

Pengundian diadakan esok. Kempen akan berakhir secara rasmi tengah malam ini.

Turut berucap pada majlis itu ialah Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Calon PAS, Normala Sudirman akan berdepan calon BN, Mohd Azahar Ibrahim.

No comments

Powered by Blogger.