Pelabuhan Klang: Hak SPR tetapkan tarikh mesyuarat khas

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 27 Jan — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka menetapkan tarikh mesyuarat khas bagi membincangkan status kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang, yang pertikaiannya kini berada di mahkamah, esok.

Badan pengendali pilihan raya itu akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi menentukan tarikh pilihan raya kecil kerusi DUN Merlimau pagi esok — pilihan raya kecil yang ke-15 sejak Mac 2008.

Justeru, SPR akan membincangkan kedudukan kerusi Pelabuhan pada mesyuarat khas yang berasingan bagi menentukan sama ada pilihan raya kecil ke-16 akan berlangsung di Selangor itu ataupun sebaliknya.

“Jumaat ini (esok) kami akan mengadakan mesyuarat khas bagi kerusi Merlimau, semua anggota panel akan hadir, di mana saya percaya pengerusi akan memaklumkan mengenai kedudukan kerusi Pelabuhan Klang dan satu tarikh bagi mesyuarat khas akan ditentukan,” kata timbalan pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Wan Ahmad berkata, “saya tidak boleh menduga apa yang akan diputuskan, tetapi perkara berkaitan dengan DUN Pelabuhan Klang, segala perkara berkaitan dengan kerusi ini akan dibincangkan pada mesyuarat khas nanti.”

Walaupun perkara itu kini berada di mahkamah, kata Wan Ahmad, status kerusi itu akan dibincangkan memandangkan SPR sudah pun merima notis makluman kekosongan daripada Speaker DUN Datuk Teng Chang Khim minggu lalu.

SPR dilaporkan menerima notis kekosongan kedua-dua kerusi Merlimau dan Pelabuhan Klang pada hari yang sama.

“Kita sudah menerima pemakluman dan mengikut tatacara meneliti menggunakan undang-undang yang ada, Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri Selangor,” kata beliau.

Menjawab soalan mengenai perbezaan tarikh mesyuarat bagi kedua-dua kerusi Merlimau dan Pelabuhan Klang, Wan Ahmad berkata, menjadi hak SPR menentukan tarikh sesuatu pertemuan.

“Menjadi hak SPR untuk menentukan bila hendak mengadakan mesyuarat khas, pihak lain tidak perlu risau.

“Kita hendak lihat satu persatu, Merlimau dulu dan kemudian Pelabuhan Klang,” katanya.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat petang semalam, Teng berkata, SPR tidak seharusnya dilihat menjalin pakatan sulit dengan mana-mana parti atau individu bagi melengah-lengahkan atau cuba mengelak proses pilihan raya atau ia cuba mengelak daripada menjalankan tanggungjawabnya di bawah perlembagaan.

Kata Teng, beliau hairan SPR menetapkan 27 Januari (esok) sebagai tarikh menentukan pilihan raya kecil Merlimau tetapi tidak mahu menetapkan tarikh yang sama bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil kerusi Pelabuhan Klang.

[... Teng said the EC should not be seen to be in collusion with any political party or any individual to delay ot avoid the due process of election or it would be abdicating its constitutional duty.”]

[The EC has fixed 27 January 2011, this Friday, to discuss the by-election of Merlimau state constituency as announced by its Secretary Datuk Kamaruddin Mohamed Baria. However, I am puzzled why the EC does not want to fix the same date to discuss the by-election of Pelabuhan Klang state constituency.]

Ditanya sama ada SPR menggunakan tempoh 10 hari untuk memanggil mesyuarat khas bagi membincangkan kekosongan luar jangkaan kerusi Pelabuhan Klang, Wan Ahmad berkata, aspek itu terpakai mulai tarikh kekosongan diisytiharkan wujud.

“Tempoh 10 hari ini terpakai juga ke atas kerusi Pelabuhan Klang tetapi hanya selepas SPR menentukan kekosongan benar-benar wujud, kemudian kami akan adakan pilihan raya kecil dalam 60 hari,” katanya.

Pada Isnin lalu, Badrul Hisham Abdullah memfailkan saman pemula untuk mendapatkan deklarasi Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa beliau masih lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang dan berhak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri Selangor.

Badrul Hisham juga memohon deklarasi bahawa tiada kekosongan untuk kerusi Pelabuhan Klang.

Badrul Hisham, 50, menamakan Teng sebagai defendan pertama dan SPR sebagai defendan kedua.

Perintah-perintah deklarasi yang lain yang dipohon oleh plaintif termasuk pengisytiharan bahawa keputusan defendan pertama yang mengisytiharkan kerusi tersebut telah kosong adalah ultra vires Artikel LXIX Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dan adalah batal dan tidak sah.

Teng, pada 19 Januari lalu telah mengisytiharkan kerusi Pelabuhan Klang yang disandang Badrul Hisham kosong dengan alasan wakil rakyat itu gagal menghadiri sidang Dewan dalam tempoh enam bulan tanpa alasan munasabah, berdasarkan Perkara 69 dan 70 perlembagaan negeri dan tiada peruntukan untuk rayuan.

No comments

Powered by Blogger.