‘Saya bukan orang Hizbullah’

BEIRUT: Perdana Menteri Lubnan yang baru, Najib Mikati, semalam menolak dakwaan bahawa beliau adalah ‘orang Hizbullah’ dan berkata pertelingkahan membabitkan tribunal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyebabkan perdana menteri sebelum ini digulingkan boleh diselesaikan melalui dialog.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak terutama masyarakat antarabangsa agar tidak cuba menghakimi sikap dan tindakan saya,” kata jutawan berusia 55 tahun itu dalam temu ramah selepas pelantikannya bagi membentuk kerajaan baru. Mikati menegaskan pencalonan dirinya yang dibuat Hizbullah tidak bermakna beliau akan tunduk atau terikat dengan kedudukan politik kumpulan itu, seperti yang dibimbangi pelbagai pihak kecuali jika ia membabitkan pertahanan dan kedaulatan negara.

Perdana Menteri itu juga menegaskan beliau tidak malu dengan hakikat bahawa pelantikannya dicalonkan Hizbullah yang menerima sokongan Iran dan Syria, sambil berharap bekas Perdana Menteri, Saad Hariri yang disokong Barat juga akan berbuat demikian.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka, saya menghormati mereka sama seperti saya menghormati pihak yang tidak mengundi saya. Sekarang saya akan bekerja bersungguh-sungguh demi kepentingan seluruh rakyat Lubnan. Biarlah tindakan saya membuktikan niat saya yang sebenar,” katanya.

Mikati yang berpendirian sederhana dan mempunyai hubungan baik dengan Syria berkata, ketika berkhidmat sebagai Perdana Menteri untuk tempoh singkat, beliau pernah dilabel sebagai ‘boneka Syria’ tetapi kemudian diiktiraf sebagai pemimpin yang berkebolehan.

“Ketika menyandang jawatan, saya melakukan segala-galanya demi kepentingan rakyat Lubnan dan semua orang terkejut dengan pencapaian saya,” katanya. – AP

No comments

Powered by Blogger.