Pelabuhan Klang: Permohonan Badrul halang SPR didengar 7 Februari

Oleh Debra Chong


SHAH ALAM, 28 Jan — Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 7 Februari ini untuk mendengar permohonan Badrul Hisham Abdullah agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dihalang daripada menentukan status kerusi DUN Pelabuhan Klang.

Badrul juga memohon perintah sementara untuk menghalang suruhanjaya itu daripada mengadakan mesyuarat khas berhubung kerusi Pelabuhan Klang.

Mahkamah Tinggi Shah Alam akan mendengar permohonan mendapatkan perintah sementara petang ini.

Badrul Hisham mendakwa beliau masih merupakan wakil rakyat sah kawasan tersebut.

Terdahulu pagi tadi, Badrul Hisham memfailkan permohonan injunksi di Mahkamah Tinggi bagi menghalang SPR daripada membincangkan status kerusi DUN Pelabuhan Klang, yang kemungkinan membawa kepada pilihan raya kecil.

Kerusi itu diisytiharkan kosong oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Teng Chang Khim minggu lalu.

SPR mengadakan mesyuarat khas di Batu Pahat, Johor malam ini bagi membincangkan satu lagi kerusi yang sudah kosong iaitu Merlimau di Melaka.

SPR pagi tadi mengadakan mesyuarat bulanan di bandar itu dan disusuli dengan mesyuarat khas pada sebelah malam.

Mesyuarat bulanan itu berlarutan sehingga tengah hari dan disusuli dengan mesyuarat tambahan pada sebelah petang.

Dan, badan pilihan raya itu dijangka akan menetapkan tarikh mesyuarat khas kerusi DUN Pelabuhan Klang pada pertemuan malam ini.

Peguam-peguam Badrul Hisham memfailkan permohonan agar perkara itu dibicarakan dengan segera.

Peguam memberitahu The Malaysian Insider bahawa mereka akan berusaha mendapatkan tarikh perbicaraan awal dan jika tidak, perintah sementara dikeluarkan untuk menggantung mesyuarat khas SPR sehingga kes itu selesai didengar di mahkamah.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya akan membincangkan perkara itu memandangkan notis makluman sudah pun dikeluarkan oleh Speaker DUN.

Kes itu mirip isu kerusi DUN Kota Seputeh, Kedah yang berakhir dengan pertikaian mahkamah dan sedang didengar di mahkamah.

No comments

Powered by Blogger.