Dulu Anwar Agen Yahudi Dan Barat, Sekarang Agen Pelampau Agama Pula. Umno Dah Bengong!

Hishammuddin: Najib tiada kaitan laporan CNN, Anwar disiasat


LABIS, 28 Jan — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan Datuk Seri Najib Razak tiada sebarang kaitan dengan laporan CNN bahawa beliau meminta Arab Saudi menyiasat pembiayaan dana pilihan raya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun Hishammuddin berkata, beliau telah mengarahkan pihak berkuasa agar menyiasat dakwaan bahawa Anwar ada kaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa.

“Ia tiada kaitan dengan Najib. Itu hanya satu laporan CNN mengaitkan beliau dengan sebuah pertubuhan pengganas,” kata Hishammuddin kepada pemberita di sini.

“Saya telah meminta pasukan khas (anti) pengganas dan saya telah meminta Cawangan Khas, dan mereka berhubung dengan (agensi) risikan Saudi untuk mengetahui sejauh mana Anwar Ibrahim dikaitkan dengan kumpulan pengganas ini,” kata beliau di sini petang ini.

Hishammuddin menambah kementeriannya melihat isu itu dengan serius memandangkan ia melibatkan keselamatan negara.

“Ini bukan isu politik. Ini adalah isu keselamatan, suka atau tidak kita mesti mengambil serius perkara ini,” kata beliau.

Najib yang ditemui pemberita di Putrajaya tengah hari tadi enggan mengulas isu itu dengan hanya berkata, “itu siasatan Saudi”.

Dalam ulasan pagi tadi, Anwar mendakwa laporan CNN menyerlahkan “ketakutan dan rekayasa” Najib untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat khususnya menjelang pilihan raya umum ke-13.

Dalam pendiriannya yang tegas, Anwar berkata beliau tidak terkejut sekiranya Perdana Menteri yang juga presiden Umno sanggup ke luar negara, bukan demi menarik pelaburan tapi semata-mata untuk menyekat dan mentohmahnya.

Laporan CNN itu muncul ketika tinggal tiga hari sebelum hari pengundian pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang dan di tengah-tengah spekulasi negara bakal menyaksikan pilihan raya umum ke-13.

Dakwaan itu dilihat sebagai yang paling keras daripada Najib ke atas Anwar sejak menjadi perdana menteri keenam pada April 2009.

Satu laporan risikan Saudi berkata tiada bukti mana-mana pegawai negara itu membiayai Anwar yang mengetuai Pakatan Rakyat, tetapi mengesan sebuah pertubuhan fundamentalis Islam yang ada hubungan dengan pemimpin pembangkang telah memanfaatkan rangkaian Al-Qaeda menerusi sokongan ahli-ahli politik negara-negara Islam.

CNN juga menamakan satu siasatan sulit telah dijalankan ekoran aduan Najib bahawa Saudi membiayai Anwar menjelang pilihan raya umum ke-13.

Malah rangkaian itu juga mendakwa pihak berkuasa Malaysia telah mengesyaki dua pegawai kanan kerabat diraja Saudi terlibat dalam pembiayaan kepada Anwar dan ini menyebabkan Riyadh memulakan siasatan sulit.

Laporan siasatan itu memutuskan bahawa tiada bukti menunjukkan pegawai-pegawai Saudi terlibat menyokong Anwar, yang bulan lalu digantung daripada menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan.

Sebelum ini Anwar dilabelkan oleh Umno sebagai ejen Yahudi.

“Dakwaan sokongan daripada keluarga raja Saudi yang dinamakan dalam laporan awal didapati tidak berasas,” kata laporan CNN lagi.

“Laporan CNN yang baru sahaja beredar beberapa jam lalu menyebut antara lainnya, Presiden Umno itu menyatakan rasa tidak puas hatinya kepada kerajaan Arab Saudi kerana terdapat dua Putera Arab Saudi yang menyokong dan membiyai saya untuk pilihan raya umum yang akan datang,” kata Anwar lagi.

Anwar menambah gerakan politik Pakatan Rakyat setiap hari berusaha membina dokongan rakyat terhadap usaha kami demi menyelamatkan Malaysia dari segala kepincangan yang disebabkan oleh kelemahan mentadbir pimpinan negara serta ketirisan akibat dari rasuah yang semakin membarah.

No comments

Powered by Blogger.