Kes seleweng, salah guna kuasa menantu Nik Aziz belum selesai

KOTA BARU, 27 Jan — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan berkata kes melibatkan penyelewengan dan salahguna kuasa terhadap menantu Menteri Besar Kelantan masih belum selesai.

Pengarahnya, Nasaruddin Mohd Noor berkata kes melibatkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Ariffahmi Ab. Rahman, masih disiasat.

Katanya SPRM kini sedang mendapatkan beberapa lagi maklumat dan dokumen bagi memantapkan lagi siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan.

Sebelum ini ibupejabat SPRM hanya mengumumkan penutupan kes mengenai pelantikan Abdul Ariffahmi sebagai CEO di dalam PMBK, yang menimbulkan kontroversi kerana pelantikan keluarga terdekat, dan bukannya kes melibatkan

penyalahgunaan kuasa serta penyelewengan melibatkan menantu Menteri Besar itu.

“Ada beberapa perkara yang masih dalam siasatan terhadap kes itu. Saya juga tidak dapat memberitahu secara terperinci bentuk penyiasatan itu. Yang pasti kes itu masih di bawah SPRM Kota Baharu.

“SPRM Negeri masih belum menutup penyiasatan kes Abdul Ariffahmi itu, walaupun ibu pejabat SPRM telah memutuskan menutup kes yang disyaki melibatkan (Menteri Besar Datuk) Nik Aziz (Nik Mat),” katanya kepada pemberita selepas

Program Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama SPRM di ibu pejabat JPJ, Panji, dekat sini, hari ini.

Nasaruddin berkata demikian sebagai mengulas sama ada SPRM telah menutup kes penyiasatan yang disyaki berlaku penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang disifatkan berprofil tinggi melibatkan menantu Menteri Besar itu.

Pada 15 Disember tahun lepas, Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil berkata pihaknya menutup dua kes berprofil tinggi melibatkan penerimaan wang tajaan RM65,000 untuk mengerjakan haji oleh Menteri Besar Kelantan dan pelantikan menantunya Abdul Ariffahmi sebagai CEO PMBK.

Pada akhir 2009, SPRM membuka kertas siasatan dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam PMBK membabitkan Abdul Ariffahmi, sementara Nik Aziz pula disiasat atas pengakuannya bahawa beliau dan keluarga menerima tajaan haji.

Abdul Ariffahmi berkhidmat selama lapan tahun di PMBK dan dilantik sebagai CEO pada 20 September 2009, telah mencetuskan kontroversi amalan nepotisme dalam PAS selain kemelut dalaman PMBK yang dikaitkan dengan soal salah urus tadbir dan kewangan sehingga menuntut SPRM membuat siasatan.

Susulan itu, beliau dinasihat melepaskan jawatannya oleh Nik Aziz selepas mendapat tekanan daripada pimpinan PAS demi menjaga nama baik parti itu, seterusnya menyelesaikan kemelut politik yang sedang berlaku di negeri ini.

Nasaruddin berkata SPRM masih lagi menyiasat wujudnya penyelewengan dalam masalah membabitkan urusan perpindahan peniaga-peniaga Pasar Arked Lambok Uda dan Pasar Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) ke Bazar Tok Guru di sini.

Beliau berkata siasatan awal SPRM mendapati tidak ada wujud unsur-unsur rasuah dalam projek itu, cuma ia melibatkan rasa tidak puas hati peniaga berhubung janji antara pihak peniaga (pembeli) dengan pemaju.

“Bagaimanapun, ia masih dalam siasatan kami dan kita akan tengok bagaimana dari segi prosedur atau sebagainya, setelah kita terima aduan,” katanya.

Seramai 415 peniaga yang dikatakan akan berpindah ke bazar tersebut tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri terutama PMBK kerana mendakwa kerajaan negeri mungkir janji apabila sebelum ini mereka dijanjikan lot kedai berkeluasan

3.04 x 3.65 meter persegi pada harga RM40,000, tetapi kini harganya dikatakan naik sekali ganda antara RM80,000 hingga RM90,000 sementara keluasan lot kedai pula lebih kecil iaitu 1.82 x 2.4 meter persegi. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.