ANAK teruskan tekanan supaya Ahmad Maslan berdebat isu Felda

KUALA LUMPUR: Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman akan terus mendesak Pengerusi Biro Aduan Peneroka Kebangsaan (Bapak), Datuk Ahmad Maslan untuk berdebat mengenai isu Felda.

Menurut Mazlan, surat pelawaan debat dihantar kepada Ahmad Maslan Isnin lalu, tetapi sehingga kini beliau masih tidak menerima sebarang jawapan dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Katanya, beliau hanya mengetahui keengganan Ahmad Maslan menerima pelawaan debat itu menerusi berita di media semalam.

“Saya masih menunggu jawapan daripada Maslan, tetapi sehingga kini beliau masih membisu dan hanya mengeluarkan kenyataannya di media sahaja. Mengenai pelawaan tersebut, saya akan tunggu sehingga esok samada beliau berani atau tidak untuk menyahut cabaran saya.

“Sekiranya beliau hanya terus membisu, saya pasti akan terus memberi tekanan dan desakan supaya isu di Felda dapat didengari rakyat,” katanya yang juga merangkap Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Selain itu, beliau turut menyifatkan tindakan membisu dan hanya menggunakan media sebagai penakut dan sekaligus Ahmad Maslan tidak layak bergelar pemimpin yang mewakili kepentingan peneroka Felda.

“Sebagai pemimpin, beliau sepatutnya menunjukkan sikap berani dan tampilkan diri untuk membela rakyat, bukannya lari daripada cabaran,” katanya.

Mazlan menjelaskan soalan yang bakal didebat olehnya hanya mengandungi 25 soalan dan semuanya berkaitan dengan masalah peneroka antaranya isu ekonomi, isu kadar perahan gred dan hak pemilikan tanah.

“Hanya 25 persoalan yang saya bangkitkan, beliau tidak perlu takut sekiranya perkara tersebut untuk kebaikan warga Felda dan mereka sememangnya akan tertunggu-tunggu untuk mendengar penjelasan daripada beliau.

“Lagipun saya memberi kelonggaran kepada beliau untuk tentukan di mana dan bila boleh beliau berdebat bersama saya, itu pun beliau tetap membisu lagi.

No comments

Powered by Blogger.