Ramon: Putrajaya perlu siasat aliran wang haram RM888b

KUALA LUMPUR, 27 Jan — Terdapatnya keperluan untuk menyiasat dan mengambil tindakan pemulihan seandainya perlu, berhubung dengan laporan aliran keluar kewangan haram dari Malaysia, kata Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam Institut Kajian Strategi & Kepimpinan (ASLI), Tan Sri Ramon Navaratnam.

Baru-baru ini, laporan oleh pemantau kewangan, Integriti Kewangan Global (GFI) menyebut yang aliran keluar wang haram dari Malaysia pada 2000 ialah RM67.7 bilion (US$22.2 bilion) dan lapan tahun kemudian, ia melambung kepada RM208 bilion (US$68.2 bilion).

Berdasarkan laporan badan pengawas kewangan yang berpangkalan di AS itu, Malaysia berada di tempat kelima dalam senarai negara yang terlibat dalam aliran keluar wang haram.

“Kita perlu tanya diri kita sendiri mengapa wang ini keluar,” kata Ramon kepada pemberita di Persidangan ke-13 Tinjauan Strategik Malaysia 2011 di sini hari ini.

Presiden Dewan Perdagangan Amerika-Malaysia, Datuk Nicholas Zefferys, memberitahu pemberita yang Bank Negara Malaysia telah pun menetapkan peraturan pengubahan wang haram yang ketat.

“Malaysia mempunyai perlindungan kukuh terhadap pengubahan wang haram dalam sistem perbankan tradisional,” kata beliau.

Ahad lalu, DAP juga menggesa kerajaan Barisan Nasional tampil memberi penjelasan berhubung skandal aliran keluar wang haram berjumlah RM888 bilion (AS$291 bilion) yang direkodkan sepanjang tahun 2000 dan 2008.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, pihaknya kecewa kerana “lanun darat” dibenarkan bergerak bebas di negara ini, sekali gus menyebabkan wang sejumlah dibawa keluar secara tidak sah.

“Mana-mana kerajaan yang bersih dan bertanggungjawab, yang berintegriti akan dengan segera menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat skandal aliran keluar wang RM888 bilion secara haram ini,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Bank Negara Malaysia akan membuat ulasan khas tentang laporan berita yang mengatakan Malaysia menduduki tempat kelima di kalangan negara-negara yang mencatatkan pengaliran keluar wang haram paling banyak.

No comments

Powered by Blogger.