Kes Fitnah II tak menjadi, Umno cuba guna alasan ‘pengganas’

Norutul Ilham

KUALA LUMPUR: Arahan siasatan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, kononnya ada kaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa sebagai usaha terbaru Umno Barisan Nasional (BN) mencari alasan untuk mengheret Ketua Pembangkang itu mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika bercakap kepada KeadilanDaily.com tidak menolak kemungkinan kerajaan Umno BN sengaja berbuat demikian berikutan alasan untuk memenjarakan Anwar melalui kes Fitnah II semakin kabur.

“Kes Fitnah II sudah gagal membuktikan fakta sebenar yang disembunyikan, saya tidak menolak jika ini adalah serangan terbaru kerajaan Umno untuk menjatuhkan Anwar. Mereka mahu mengaitkan isu itu bagi memperkukuh tindakan ke atas Anwar,” katanya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengeluarkan arahan kepada polis bagi menyiasat dakwaan dalam laporan CNN yang mengaitkan Anwar dengan kumpulan pengganas antarabangsa, walaupun sepupu Perdana Menteri itu mengakui belum membaca laporan berkenaan.

“Saya telah mengarahkan unit anti-pengganas dan juga Cawangan Khas dan mereka sedang berhubungan dengan perisikan Saudi untuk mengetahui sejauh mana Anwar Ibrahim mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas ini,” kata Hishammuddin.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mengaitkan isu dakwaan pengganas terhadap Anwar dengan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang mengadakan lawatan ke negara Oman, baru-baru ini.

“Jika mahu siasat Anwar, Rosmah juga mesti disiasat kerana lawatan beliau ke Oman dibiayai negara itu. Kita tidak tahu mungkin mereka juga mempunyai agendanya tersendiri.

“Dalam isu Anwar, sudah jelas Kerajaan Saudi menafikan tiada dana diperuntukkan kepadanya. Apa lagi yang mereka mahu siasat?” katanya.

Mahfuz turut menyelar tindakan kerajaan Umno BN yang mengamal politik tidak bertamadun kerana tidak memandang sejarah beberapa negara Timur Tengah termasuk Mesir, Tunisia dan Yaman yang memperlihat kebangkitan rakyat.

“Mereka tidak boleh hanya bercakap tanpa memandang sekeliling dan belajar daripada sejarah beberapa negara yang menyaksikan kebangkiran rakyat akibat kebencian terhadap pemerintah sehingga berlakunya penggulingan,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.