Tapisan internet tindakan mundur untuk kawal aktiviti rakyat

KUALA LUMPUR: Cadangan kerajaan untuk meminda Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984 bagi mengawasi media internet merupakan tindakan mundur ke belakang sekiranya dilaksanakan, kata Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong.

Beliau berpendapat, cadangan Kementerian Dalam Negeri itu yang akan meliputi sekatan terhadap penggunaan media baru di internet, juga bertujuan mengawasi aktiviti rakyat dan menyekat mereka mendapat maklumat.

“Walaupun Kerajaan Persekutuan memberi gambaran bahawa ia bertujuan untuk memperkasakan Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984 (PPPA), hakikatnya Putrajaya ingin mengawal ketat aktiviti rakyat Malaysia dalam Internet, sama ada di blog, Facebook, Twitter dan sebagainya.

“Kewujudan undang-undang ketinggalan zaman seperti PPPA pada tahun 2011 cukup mendukacitakan. Pengumuman rancangan menapis Internet ini membuktikan bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak telah membawa kemunduran dan bukan kemajuan kepada negara kita,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya lagi, keputusan itu juga menunjukkan kerajaan memungkiri janji di bawah Rang jaminan MSC Malaysia yang menjamin kebebasan internet sepatutnya bebas dari sebarang bentuk penapisan.

“Amat jelas bahawa tujuan tindakan ini adalah mendiamkan rakyat Malaysia yang mempunyai keraguan terhadap pentadbiran Barisan Nasional, sebelum pilihanraya umum yang diramalkan akan diadakan tidak lama lagi,” ujarnya yang merujuk tekanan yang dikenakan terhadap pengguna internet sebelum ini.

Justeru itu katanya, beliau meminta rakyat Malaysia khususnya generasi internet supaya membantah pindaan akta berkenaan yang mahu diperkenalkan kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri.

“Saya menyeru rakyat Malaysia, khususnya mereka dari generasi Internet untuk bangun dan melindungi satu-satunya ruang bebas yang berada di luar kawalan Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

No comments

Powered by Blogger.