Apa Punya Tut La Perkasa

BUKIT MERTAJAM: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Pulau Pinang, kesal dengan sikap Kerajaan DAP Pulau Pinang yang didakwa tidak bersikap adil melaksanakan penguatkuasaan terutama terhadap peniaga Taman Pelangi, Juru, di sini.

Pemangku Yang Dipertuanya, Datuk Mohd Yussof Hamid, berkata tindakan merobohkan gerai peniaga di taman itu tidak sepatutnya berlaku jika kerajaan negeri bersikap adil dalam menjalankan penguatkuasaan ke atas sesuatu kaum.

“Jangan adil kepada satu pihak saja tetapi pada pihak lain, bersikap pilih kasih. Jika mahu robohkan (gerai), perlu roboh semua gerai yang kononnya haram seperti di Jalan Raja Uda, Taman Chai Leng dan sekitar Bukit Mertajam.

“Kalau peniaga di sini haram (tidak berlesen), kenapa tidak halalkan mereka dengan memberi lesen, malah saya difahamkan semua penjaja di sini adalah orang Melayu,” katanya kepada pemberita selepas meluangkan masa mendengar masalah penjaja Taman Pelangi, di sini, semalam.

Minggu lalu, Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) melakukan operasi meroboh gerai dan penyambungan haram di kawasan itu sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan peniaga.

Ia berikutan ada gerai tidak dirobohkan, malah ada dakwaan berlaku pilih kasih ketika operasi penguatkuasaan dilakukan. Sebanyak 60 peratus peniaga di kawasan itu adalah warga tempatan, manakala 40 peratus lagi warga asing.

Mengulas lanjut, Mohd Yussof berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang niat untuk mencampuri urusan kerajaan negeri, tetapi kebelakangan ini terlalu banyak penindasan kepada orang Melayu hingga menyebabkan kesedihan dan kerugian.
“Jika nak merobohkan gerai mereka sekalipun, perlu beri penempatan baru kerana penjaja juga perlu berniaga bagi menyara keluarga dan anak tetapi keadaan sekarang menyebabkan mereka hilang punca pendapatan.

“Tindakan ini seperti ada agenda tersembunyi yang dilakukan kerajaan negeri apabila mengatakan ia tindakan MPSP,” katanya.

Beliau berkata, PERKASA akan menggerakkan jenteranya untuk menyenaraikan dan menyemak semua lokasi perniagaan haram tanpa mengira bangsa di negeri ini.
“Selepas itu, kami akan bertindak jika kerajaan negeri masih dilihat bersikap pilih kasih,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.